HomeUtamaInstitusi pendidikan awal diseru bantu suburkan minat kanak-kanak terhadap STI

Institusi pendidikan awal diseru bantu suburkan minat kanak-kanak terhadap STI

Read Time:1 Minute, 39 Second

KENINGAU : Semua institusi pendidikan awal kanak-kanak khususnya di Sabah diseru untuk turut serta dalam membantu kerajaan bagi menyuburkan minat anak-anak terhadap Sains, Teknologi dan Inovasi (STI).

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, ia adalah bagi menyokong usaha dan hasrat negara yang meletakkan sasaran untuk berada dalam kalangan 20 negara teratas di dunia dalam bidang ekonomi.

Katanya, ini termasuklah kesejahteraan rakyat dan kreativiti serta inovasi menjelang tahun 2050.

“Bagi menuju kearah itu, kita memerlukan perubahan besar, kesediaan dan pembangunan modal insan, perbelanjaan, pembudayaan serta berjiwa besar.

“Antara cara mencapai matlamat itu adalah dengan memupuk minat terhadap bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) sejak di peringkat sekolah lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi Tabika KEMAS Parlimen Pensiangan di sini semalam.

Pada majlis itu, seramai 291 kanak-kanak Tabika KEMAS di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sook; Tulid dan Nabawan diraikan bagi memberi pengiktirafan prestasi cemerlang kepada anak-anak kecil dalam bidang akademik dan aktiviti kokurikulum sepanjang tahun lalu.

Arthur yang juga Ahli Parlimen Pensiangan berkata, ibu bapa juga diseru untuk bersama berganding bahu dan bekerjasama dengan pihak sekolah dalam melaksanakan apa sahaja aktiviti yang berkaitan.

Katanya, tanpa kerjasama dan sokongan daripada pelbagai pihak terutama ibu bapa serta penjaga, sudah pasti setiap perancangan akan menemui jalan buntu.

“Sebagai Timbalan Menteri dan Ahli Parlimen di sini, kita dalam perancangan untuk membawa program-program yang berteraskan STI bagi memupuk dan menyemarakkan lagi minat masyarakat terutamanya kanak-kanak.

“Saya ingin melihat anak-anak kita terus maju ke hadapan dan mampu bersaing di peringkat yang lebih tinggi.” Katanya.

Mengenai majlis itu, Arthur menyifatkan anak-anak di Tabika KEMAS sebagai aset negara yang paling bernilai dan bakal menjadi pewaris yang boleh memacu negara ke tahap yang lebih baik dari sekarang.

“Teruskanlah kecemerlangan itu sampai bila-bila kerana hakikatnya kita sedang menghadapi pelbagai cabaran baru yang menuntut kita supaya sentiasa meneroka ilmu terkini, melakukan inovasi dan berusaha untuk melangkaui sempadan kecemerlangan.” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Sabah tuan rumah ATE 2025

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular