Kenyataan Junz Wong melulu terdesak bagi menutup kelemahan Warisan – Anna Bell

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 30 Second

KOTA KINABALU: Pengerusi Kelab Kebajikan Kemajuan Sabah, Anna Bell menyifatkan dakwaan Naib Presiden Parti Warisan Sabah, Junz Wong mengenai tindakan tiga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Warisan keluar daripada parti itu sebagai terdesak dan melulu.

Menurut beliau, tuduhan bahawa Mohammad Mohamarin (ADUN Banggi),  Norazlina Arif  (ADUN Kunak) dan Chong Chen Bin (ADUN Tanjong Kapor) yang mengumumkan keluar parti secara rela Isnin lalu kerana wang ringgit dan jawatan jelas bertujuan untuk merosakkan imej Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS).

Anna berkata, Junz Wong sepatutnya berfikir lebih matang mengenai politik Sabah yang memerlukan lebih kestabilan dalam menempuhi cabaran ekonomi yang agak sukar pada hari ini.

“Kita melihat tuduhan ini lebih bersifat melulu dan terdesak selepas kehilangan tiga ADUN tetapi beliau perlu berfikir lebih matang bahawa ketiga-tiga ADUN terbabit mahukan sebuah parti yang lebih kukuh dan stabil demi kebajikan dan kesejahteraan rakyat Sabah sendiri.

“Mereka ini telah keluar parti secara rela dan tidak sewajarnya ditimbulkan fitnah kepada PGRS yang dipimpin oleh Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor,” katanya.

Beliau turut menyokong kenyataan Ketua Penerangan GPRS, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan bahawa kenyataan Junz Wong sebagai tuduhan berat dan tidak masuk akal.

“Sebagai seorang Wakil rakyat dan pemimpin di kawasan sudah tentulah mereka boleh berfikiran secara waras dan membuat pertimbangan yang sewajarnya dalam membuat keputusan.

“Ketiga-tiga Adun ini sudah cukup matang dan mampu menilai apakah yang terbaik untuk mereka dan yang paling keutamaan kepada rakyat.  Mereka keluar parti atas kehendak diri dan pilihan mereka sendiri selepas membuat pertimbangan banyak perkara untuk kepentingan rakyat di kawasan yang mereka wakili,” katanya.

Anna Bell turut meminta Junz Wong menilai dan menganalisis kembali apakah kelemahan dan kekurangan parti mereka yang telah menyebabkan ADUN-ADUN berkenaan keluar parti.

Katanya, mereka patut mengadakan musyawarah untuk melihat semula apakah yang patut dilakukan oleh parti dan kepimpinan Warisan itu sendiri agar pemimpin dan ahli-ahli mereka bertahan dalam parti itu tersebut.  

“Pilihanraya Negeri dan Parlimen telah diadakan dan semua rakyat menyaksikan bagaimana calon-calon Warisan tewas dalam mempertahankan dan menawan kerusi yang telah mereka sandang dan yang baharu.  Ini menunjukkan bahawa bukan sahaja pemimpin mereka mula goyah, malah keyakinan ahli juga semakin hilang kepada parti mereka,” katanya.

Tambah beliau, kenyataan Junz Wong itu benar-benar menampakkan ketidak rasionalan dirinya kerana dia perlu sedar bahawa Kerajaan Perpaduan yang dibentuk di Negeri Sabah adalah sebagaimana saranan yang diminta oleh YAB Perdana Menteri untuk memulihkan semula kestabilan politik dan yang paling penting memulihkan ekonomi setelah negara dan negeri kita bangkit daripada Pandemik Covid-19.  

Katanya, ketidakstabilan politik negeri boleh menjejaskan pentadbiran kerajaan dan kelancaran projek-projek rakyat.

“Berapa banyak projek-projek pembangunan di kawasan terpaksa diberhentikan dan tergendala menyebabkan rakyat tidak mendapat kemudahan yang sepatutnya ekoran mereka yang terlalu sibuk memikirkan politik demi kepentingan mereka dan parti mereka sahaja.  

“Sudah-sudahlah membuat tuduhan dan membuat polemik politik yang kurang sihat yang semata-mata untuk mengejar nama.  Sudah tiba masanya kita semua berganding bahu untuk sama-sama memikirkan bagaimana untuk membangunkan dan memajukan negeri Sabah dengan acuan sendiri,” tegasnya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *