1,143 kes tangkapan Maritim Malaysia tahun lalu

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 5 Second

SANDAKAN : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) telah merekodkan sebanyak 1,143 kes tangkapan atas pelbagai kesalahan melalui operasi yang telah digerakkan oleh agensi ini sepanjang tahun lalu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya berpuas hati dengan komitmen yang ditunjukkan Maritim Malaysia dalam menjalankan tugas menjaga keselamatan di kawasan perairan maritim negara.

Pesawat jenis Bombardier CL415MP milik Maritim Malaysia dan kapal Maritim KM Setia yang turut menyertai perbarisan `Fleet Review’ pada majlis itu – PIC IHSAN MAHA

“Saya dimaklumkan, pada tahun lalu sahaja hampir RM4.8juta hasil rampasan diperolehi manakala lebih RM45 juta denda dan kompaun telah dikeluarkan kepada pesalah yang ditahan oleh pihak Maritim Malaysia.

Kapal Maritim KM Adil yang menyertai perbarisan `Fleet Review’ pada majlis itu – PIC IHSAN MAHA

“Daripada jumlah yang direkodkan itu tadi, Maritim Malaysia telah membuktikan mereka memiliki kemahiran dan kepakaran setanding dengan agensi penguatkuasaan yang lain di dalam negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Lintas Hormat Aset Laut, Udara dan Darat berkonsepkan `Fleet Review’ berhampiran pejabat Zon Maritim Sandakan,Sabah sempena Sambutan Hari Ulang Tahun Ke 18 Maritim Malaysia di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah Dan Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som.

Saifuddin turut mengakui melalui aset-aset terkini yang ditunjukkan, beliau yakin agensi ini mampu mengawasi keselamatan perairan negara serta dapat menjayakan operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) di laut.

“Sebanyak 11 buah kapal, tiga buah pesawat udara dan empat buah bot pengiring keselamatan terlibat dalam acara lintas hormat sebentar tadi. Ini merupakan sebahagian daripada aset Maritim Malaysia yang digunakan dalam penugasan dan operasi agensi ini,” katanya.

Masih mengekalkan tema sebelum ini iaitu ‘Kami Serius Melaksanakannya’.

Tema ini dilihat mampu menyemarakkan semangat setia, dedikasi dan kesungguhan warga Maritim Malaysia dalam melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan kepada agensi ini.

Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team) Maritim Malaysia ketika membuat pertunjukan menyelamat mangsa penculikan lanun pada majlis itu – PIC IHSAN MAHA

Pada sambutan pada kali ini, Maritim Malaysia turut melaksanakan Eksesais Maritim Perkasa bil 2/2023 di perairan Negeri Sabah.

Sekumpulan lanun ketika menculik pemancing pada majlis itu – PIC IHSAN MAHA

Eksesais ini adalah latihan dalam bentuk operasi dari sudut memperkasakan dan meningkatkan kompetensi keberadaan aset-aset Maritim Malaysia di laut dan udara dalam strategi membanteras jenayah di perairan negara.

Selain Eksesais Maritim Perkasa, orang ramai yang hadir ke sambutan ini turut dapat menyaksikan demontrasi Pasukan Khas dan Penyelamat (PTK), pameran daripada agensi kerajaan dan berpeluang mendapatkan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan. – SABAH MEDIA

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *