KOTA KINABALU: Persatuan Pengguna Bijak Pantai Barat Sabah mengalu-alukan pelaksanaan jualan Menu Rahmah, namun meminta agar kerajaan turut menguatkuasakan harga siling bagi bahan-bahan mentah.
Presidennya, David Chan berkata, kerajaan tentunya sedar para peniaga tertekan dengan harga barangan mentah yang naik mendadak pada masa kini untuk meneruskan operasi perniagaan kedai makan mereka.
Menurut beliau, namun pada masa yang sama, peniaga berkenaan pastinya menyambut baik usaha kerajaan dalam membantu golongan B40 dan kurang berkemampuan untuk membeli makanan harian.
“Oleh itu saya menyarankan agar kerajaan dalam membantu golongan B40 ini turut membantu golongan peniaga ini supaya harga bahan mentah untuk operasi kedai mereka ditetapkan satu harga siling supaya mereka ini tidak terbeban dan pada masa yang sama mampu membuat keuntungan jika menyediakan Menu Rahmah ini.
“Dengan itu kita telah mewujudkan suasana menang menang. Peniaga selama ini terbeban dengan kos bahan mentah, sewa kedai dan gaji pekerja yang semakin meningkat,” katanya.
Beliau turut menyifatkan pelaksanaan Menu Rahmah sebagai tepat pada masanya kerana memang diakui ramai dalam kalangan keluarga B40 terpaksa mengikat perut, malah anak-anak mereka di sekolah terpaksa menahan lapar kerana tidak mempunyai perbelanjaan mencukupi untuk membeli makanan.
“Berdasarkan pengalaman, saya ada melihat ramai pelajar miskin hanya membeli minuman, saya tahu mereka tidak mempunyai wang yang cukup untuk membeli makanan.
“Kini orang ramai daripada golongan miskin tegar dan memerlukan boleh mendapatkan sajian makan tengah hari dan malam khas pada harga serendah RM5 ini,” katanya.
Beliau turut menyifatkan pelaksanaan Menu Rahmah ini tidak akan menjejaskan operasi kedai makan biasa kerana masih ramai pelanggan lain yang mampu mengeluarkan perbelanjaan lebih untuk makanan mereka.
“Sebilangan orang tidak kisah membelanjakan RM25 untuk secawan kopi mereka kerana mereka mampu membayar harga itu di kedai tertentu yang dikira berpatutan berdasarkan suasana dan kemudahan yang disediakan.
“Bagi yang tidak mampu mereka boleh minum kopi di mana-mana kopitiam pada harga RM2 dan gembira dengan harga berkenaan,” katanya.