SOOK : Kerajaan Negeri menyeru kepada semua pihak untuk terus melipatgandakan usaha selain mengenal pasti dan menggilap potensi atlet dalam pelbagai bidang kesukanan.
Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Ellron Angin berkata, negeri ini amat memerlukan lebih ramai atlet yang benar-benar berwibawa untuk membawa cabaran negeri pada pertandingan peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
“Saya sentiasa yakin bahawa Negeri Di Bawah Bayu ini memiliki ramai penggemar sukan yang berpotensi untuk diketengahkan, namun tanpa perancangan serta pelaksanaan program yang jitu, bakat mereka tidak dapat dikembangkan.
“Umpamanya kejohanan kali ini yang mana ianya menjadi satu platform utama untuk mendedahkan para peserta terutamanya mereka yang masih berada di usia yang muda untuk menonjolkan diri dalam sukan Taekwondo,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kejohanan ‘1st Leg Tenom Taekwondo Club (TTC) Circuit Taekwondo Championship 2023 disini semalam.
Ellron berkata, penganjuran yang lebih kerap seperti seperti kejohanan kali ini, adalah antara satu langkah proaktif dalam melahirkan lebih ramai bakat baru terutamanya dalam kalangan anak muda pedalaman Sabah.
Katanya, pihaknya juga amat mengalu-alukan sumbangan, persefahaman dan kerjasama pelbagai pihak, di negeri Sabah bagi menghasilkan atlet-atlet yang menyerlah dan cemerlang dalam kejohanan peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
“Saya difahamkan penyertaan kejohanan Taekwondo yang julung-julung kali diadakan di pekan Sook ini disertai lebih kurang 100 orang peserta yang melibatkan daerah Keningau, Tenom, Sook dan Nabawan.
“Saya yakin dan percaya semua atlet yang menyertai kejohanan ini akan berjuang dengan penuh semangat kesukanan yang tinggi sekaligus meningkatkan kecemerlangan dalam bidang sukan ini,” katanya. – SABAH MEDIA