HomeUtamaDBKK pastikan pentadbiran berjalan lancar menerusi 4 sektor utama

DBKK pastikan pentadbiran berjalan lancar menerusi 4 sektor utama

Read Time:2 Minute, 21 Second

KOTA KINABALU : Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) akan memastikan pentadbiran DBKK berjalan lancar menerusi empat sektor utamanya selain memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Datuk Bandar Kota Kinabalu Datuk Noorliza Awang Alip berkata, ia termasuklah sektor perancangan dan pembangunan, sektor pengurusan kewangan, sektor operasi dan sektor khidmat pengurusan.

“Bagi sektor khidmat pengurusan, pada tahun lalu, DBKK telah berjaya menyelesaikan sebanyak 8,691 aduan rakyat yang merupakan 89 peratus daripada 9764 jumlah keseluruhan aduan yang diterima.

“Piagam Pelanggan DBKK yang memperuntukkan tujuh hari bekerja bagi penyelesaian masalah biasa manakala selebihnya akan diselesaikan bergantung kepada komplikasi permasalahan yang diadukan.

“Selaras dengan hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) iaitu ke arah Kerajaan Digital, DBKK amat memandang serius ke atas kepentingan dan usaha memodenkan sistem pentadbiran dalam memantapkan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Pertandingan Perbarisan dan Sambutan Hari Keluarga DBKK sempena Ulang Tahun ke-23 Bandaraya Kota Kinabalu di Padang Merdeka di sini baru-baru ini.

Noorliza berkata, dengan anggaran pendapatan sebanyak RM160 juta setahun adalah penting bagi DBKK memastikan bahawa kutipan dapat dibuat secara efektif bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan untuk warga Bandaraya Kota Kinabalu.

Katanya, dalam masa sama dapat memastikan bahawa kewangan DBKK diuruskan dengan baik.

“Untuk memantapkan pengurusan sumber hasil utama DBKK, DBKK telah melancarkan aplikasi GoDBKK untuk memudahkan pemilik harta membuat semakan cukai pintu secara dalam talian.

“Di samping itu, aplikasi ProUD (Property Update Details) pula dibangunkan bagi membolehkan pemilik hartanah memohon mengemas kini data pemilikan hartanah dan alamat surat-menyurat mereka di mana sahaja mereka berada dengan mudah,” katanya.

Sementara itu, Noorliza berkata, DBKK juga akan sentiasa mencari langkah inovatif untuk membudayakan cara hidup bersih serta mengutamakan kebersihan dalam kalangan warga bandar raya.

Katanya, sepanjang tahun lalu, program KK Clean-Up Day telah dijalankan sebanyak lima kali yang melibatkan penyertaan pelbagai lapisan masyarakat di kawasan Kota Kinabalu dengan memberi tumpuan pembersihan di kawasan-kawasan yang menjadi tumpuan orang awam seperti taman-taman awam dan lokasi komersil.

Menurutnya, melalui program kebersihan juga, DBKK turut memberi pengiktirafan kepada tiga premis yang layak diiktiraf sebagai Premis Bersih dan Hijau.

Dalam pada itu, Noorliza berkata, sektor perancangan dan pembangunan telah memperlihatkan peningkatan kecekapan di mana untuk tahun 2021 dan 2022 sebanyak 192 Pelan Pembangunan, 676 Pelan Kejuruteraan, 66 Pelan Jalan Raya, Serta 11 Pelan Impak Trafik telah diluluskan menjadikan sebanyak 945 pelan yang telah diluluskan oleh DBKK sejak 2021.

Katanya, secara tidak langsung, ini melambangkan keyakinan para pelabur dan pemain industri terhadap Bandaraya Kota Kinabalu dan Negeri Sabah amnya.

“Dalam menghadapi tren urbanisasi dan modernisasi yang semakin berkembang, Bandaraya Kota Kinabalu berdepan pelbagai isu, cabaran dan desakan perubahan termasuk mitigasi danadaptasi ke atas kesan perubahan iklim dan memenuhi keperluan masyarakat.

“DBKK kini mengkaji mekanisme perancangan dan corak pembangunan yang berupaya mengurangkan ketidaksamarataan terutama daripada aspek pertumbuhan, pengagihan manfaat sosio-ekonomidan pembangunan lestari dalam usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Raikan Krismas dalam suasana muhibah – Isquzawan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular