HomeUtamaEwon temui mangsa terjejas banjir di Penampang selepas selesai tugas di Parlimen

Ewon temui mangsa terjejas banjir di Penampang selepas selesai tugas di Parlimen

Read Time:1 Minute, 36 Second

PENAMPANG: Ahli Parlimen Penampang Datuk Ewon Benedick malam ini turun padang melawat mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Pusat Kebudayaan Sabah selepas selesai tugas di Parlimen, siang tadi.

“Sebentar tadi, saya telah melawat lapan keluarga isirumah yang masih ditempatkan di dewan ini. Mereka akan dibenarkan balik ke rumah masing-masing esok.

“Saya juga telah diberikan taklimat oleh Pegawai Daerah (Francis Chong) mengenai kesan-kesan bencana banjir serta tindakan dan inisiatif yang telah dan akan diambil untuk menangani insiden bencana ini. Antaranya isu melibatkan culvert dan parit tersumbat,” katanya selepas melawat mangsa banjir di PPS Dewan Pusat Kebudayaan Sabah, di sini.

Esok, Ewon akan melawat beberapa kawasan yang terjejas banjir dan mengadakan perjumpaan dengan jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Penampang berkenaan dokumentasi projek mitigasi banjir yang telah tertangguh.

“Saya akan berbincang dengan JPS Penampang mengenai projek itu kerana proses perolehan atau perlantikan kontraktor pelaksana belum dibuat sehingga kini,” katanya.

Ewon yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, beliau akan membangkitkan isu banjir Penampang kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri I Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga menteri penyelaras bencana negara dan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad pada mesyuarat Jemaah Menteri Persekutuan Jumaat ini.

“Saya setuju dan akan terus mewakili aspirasi rakyat Penampang agar projek mitigasi banjir perlu dipercepatkan.

“Pada masa yang sama, saya berharap jabatan teknikal terutama Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Pengairan dan Saliran dapat membantu mempercepatkan kerja-kerja mitigasi segera yang berkaitan,” katanya.

Ewon berkata, beliau akan menggunakan peruntukan Ahli Parlimen untuk melaksanakan beberapa kerja-kerja penyelenggaraan yang berkaitan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua anggota dan petugas yang terlibat sepanjang kejadian banjir di Penampang, antaranya Pejabat Daerah, Majlis Daerah, PDRM, ATM, APM, NADMA, RELA, Jabatan Kebajikan, Jabatan Kesihatan dan Kelab WRS.

“Saya akan terus bekerja keras menjadi sebahagian daripada penyelesaian mengenai insiden banjir di Penampang,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Kelab Lions mampu membawa perubahan positif dalam komuniti

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya