Sovereign Sengalang Sdn Bhd terima Surat Niat mulakan kajian pembinaan SSL

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 24 Second

KOTA KINABALU : Syarikat Sovereign Sengalang Sdn Bhd hari ini menerima Surat Niat bagi memulakan kajian kebolehlaksanaan pembinaan kemudahan ‘Sabah Space Launch’ (SSL).

Surat Niat itu disampaikan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif kepada Timbalan CEO Sovereign Sengalang, Ezra Effendi.

Ezra berkata, Sabah mempunyai kedudukan unik untuk menjadi kemudahan pelancaran kerana berdekatan dengan garisan khatulistiwa.

“Geolokasi di Sabah membolehkan ‘High angular velocity’ yang bermaksud melancarkan kapal angkasa dengan margin tambahan 20 peratus.

“Ini bermaksud ianya sama ada 20 peratus lebih murah, atau kita boleh menambah 20 peratus lebih banyak barang ke dalam kapal angkasa, berbanding dengan tapak lain misalnya di Eropah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menerima Surat Niat bagi memulakan kajian kebolehlaksanaan sempena Majlis Amanat Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) di sini hari ini.

Ezra berkata, pada peringkat pertama, kajian kebolehlaksanaan akan meneliti aspek alam sekitar, keselamatan dan infrastruktur.

“Kami menjangkakan akan mengambil masa sekitar tiga hingga enam bulan dan kami akan memuktamadkan lokasi itu,” katanya.

Terdahulu, Arifin ketika berucap berkata, sebuah agensi yang dikenali sebagai Perbadanan Industri Angkasa Sabah (SSIC) akan ditubuhkan dinegeri ini.

Katanya, agensi ini akan bekerjasama rapat dengan Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) bagi menjalankan inisiatif membangunkan sektor AeroAngkasa di Sabah.

“Cadangan ini telah dibentangkan dan mendapat persetujuan Kabinet Negeri bagi membuat kajian kebolehlaksanaan.

“Sebagai langkah pertama, Kajian Kebolehlaksanaan akan dilaksanakan bagi mengkaji kesesuaian pembinaan Pusat Industri Pelancaran Angkasa Lepas (SLIC) Antarabangsa Sabah di lokasi yang akan ditentukan kemudian.

“SLIC juga apabila terlaksana, akan dapat memacu pertumbuhan 300 hingga 500 syarikat hiliran dalam industri AeroAngkasa dan akan membuka lebih 90 peluang pekerjaan bergaji tinggi dan lebih kurang 5,000 peluang pekerjaan secara keseluruhannya,” katanya. – SABAH MEDIA

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *