Tiga kematian akibat demam denggi dilaporkan di Sabah

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 50 Second

KOTA KINABALU : Tiga kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan di Sabah sepanjang Januari hingga 11 Februari ini, berbanding sifar kematian bagi tempoh yang sama, pada tahun lalu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) Datuk Dr Rose Nani Mudin berkata, antara daerah terlibat adalah Sandakan; Kudat dan Kunak masing-masing melaporkan satu kes kematian.

Katanya, kes kematian denggi di Sandakan adalah melibatkan seorang kanak-kanak perempuan warganegara Malaysia berusia sembilan tahun dari Kampumh Tinusa 2 Laut.

“Manakala kes kematian Denggi di Kudat adalah seorang kanak-kanak perempuan bukan warganegara berusia sembilan tahun dari Kampung Sibogoh Balak, Pulau Banggi.

“Bagi kes kematian daerah Kunak pula adalah melibatkan seorang remaja perempuan bukan warganegara berusia 12 tahun dari Kampunt Jaya Baru Bakau,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dr Rose Nani berkata, berdasarkan data demografik yang diperolehi, ketiga-tiga kes kematian ini tinggal di lokaliti kampung setinggan atas air.

Katanya, kesemua lokaliti tersebut telah dilaksanakan aktiviti kawalan dan pencegahan denggi.

“Sehingga ke hari ini, Kampung Tinusa 2 Laut, Sandakan berstatus wabak tidak terkawal dengan jumlah kes sebanyak sembilan kes, namun begitu tiada kes baru yang dilaporkan dari lokaliti Kampung Sibogoh Balak, Pulau Banggi dan Kampung Jaya Baru Bakau, Kunak.

“Terdapat pelbagai faktor yang menyumbang kepada peningkatan kes denggi di Sabah pada tahun 2023 berbanding dengan tahun 2022.

“Ini disebabkan faktor peningkatan aktiviti serta pergerakan manusia apabila kegiatan semua sektor dibuka sepenuhnya selepas pandemik COVID-19.

“Faktor ini menyebabkan mudahnya sebaran virus denggi ke tempat lain kerana pesakit denggi yang tidak bergejala akan melawat ke tempat baru dan dapat menyebarkan virus denggi apabila digigit oleh nyamuk Aedes,” katanya.

Sementara itu, Dr Rose Nani berkata, faktor kebersihan persekitaran serta tabiat segelintir masyarakat yang tidak melupuskan sampah di tempat pelupusan sampah yang disediakan dapat menyumbang kepada tempat-tempat pembiakan Aedes.

Katanya, selain itu, faktor cuaca hujan serta bencana banjir yang dialami di beberapa daerah terlibat dapat mempengaruhi perkembangan nyamuk dan larva yang menyebabkan populasi nyamuk Aedes meningkat seterusnya menyebarkan virus denggi.

“Dalam masa yang sama, ia juga menyebabkan aktiviti kawalan denggi tidak dapat dilaksanakan seperti yang telah dirancang.

“Peningkatan kes dan kematian denggi perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak dan aspek kebersihan persekitaran hendaklah dijadikan amalan hidup setiap masyarakat,” katanya. – SABAH MEDIA

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *