HomeEkonomiKUSKOP dan agensinya komited wujudkan kerjasama strategik perkukuh usahawan

KUSKOP dan agensinya komited wujudkan kerjasama strategik perkukuh usahawan

Read Time:1 Minute, 44 Second

TUARAN: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bersama agensi di bawahnya terus komited mewujudkan pelbagai inisiatif dan kerjasama strategik bagi memperkukuh dan meningkatkan lagi program-program pembangunan keusahawanan di negara ini.

Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata, sebanyak 66 agensi di bawah pelbagai kementerian seluruh negara melaksanakan program berkaitan keusahawanan dan daripadanya jumlah itu, 10 agensi dibawah KUSKOP.

“Agensi-agensi ini memberikan banyak peluang kepada semua usahawan dalam pelbagai bidang untuk memohon pembiayaan perniagaan dan bimbingan keusahawanan bagi meningkatkan lagi perusahaan mereka.

“Saya berharap agar usahawan memanfaatkan semua peluang kemudahan dan bantuan yang disediakan itu seterusnya bangkit memperbaiki diri dengan menambah ilmu dan kemahiran dalam perniagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Santai Namun Sampai Kembara Memperkasa Usahawan dan Koperasi, anjuran Bank Rakyat, di Dewan Pusat Kebudayaan Rumpun Bajau Sama, Tuaran, di sini, hari ini.

Ewon berkata, program anjuran Bank Rakyat ini antaranya bertujuan memastikan kesinambungan ekosistem keusahawanan terus berkembang maju.

“Program bimbingan dan pemerkasaan usahawan sebegini amat penting bagi memulihkan dan membangunkan semula sosioekonomi masyarakat tidak kira di bandar mahu pun luar bandar, terutamanya dari aspek komposisi keusahawanan negara yang dipacu oleh usahawan sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta koperasi.

“Bantuan dan inisiatif pembangunan usahawan ini bukan sahaja membantu mereka bangkit semula daripada kesan pandemik COVID-19 serta bencana banjir yang melanda akhir-akhir ini, tetapi juga bagi memastikan usahawan PMKS dan koperasi kekal lestari walaupun dalam persekitaran ekonomi yang mencabar serta mampu mencapai prestasi perniagaan yang lebih baik daripada sebelumnya,” katanya.

Program Santai Namun Sampai merangkumi pelbagai modul keusahawanan termasuk bimbingan secara holistik dan komprehensif dengan memfokuskan adaptasi teknologi seperti perkongsian mengenai strategi pemasaran digital.

“Adaptasi penggunaan teknologi dan inovasi dalam perniagaan merupakan trend baharu sejak negara dilanda pandemik COVID-19 dan membantu meningkatkan produktiviti serta memudahkan operasi perniagaan seperti transaksi bayaran dan pengiklanan produk.

“Justeru, saya percaya menerusi perkongsian mengenai pengetahuan dan kesedaran khususnya dalam ilmu pendigitalan dalam kalangan usahawan dapat memperhebat sektor keusahawanan negara, sekali gus menggalakkan perdagangan rentas sempadan,” katanya.

Program Santai Namun Sampai itu disertai seramai 150 peserta yang terdiri daripada usahawan PMKS serta koperasi. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
PendapatUtama

Implikasi dan Cabaran Malaysia Sebagai Pasaran Pusat Data Ketiga Terbesar Asia

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular