HomeUtamaKPM nafi Tiktoker jadi pelontar suara soalan UMBI 

KPM nafi Tiktoker jadi pelontar suara soalan UMBI 

Read Time:1 Minute, 52 Second

BANGI : Kementerian Pendidikan (KPM) menafikan menggunakan pempengaruh media sosial Tiktok sebagai pelontar suara bagi ujian mendengar Bahasa Inggeris (UMBI) Sijil Pelajaran Malaysia ( 2022).

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menegaskan, isu integriti sentiasa dijamin dan menjadi keutamaan bagi penghasilan pelbagai bentuk ujian untuk tujuan peperiksaan utama di sekolah dan seharusnya isu berkenaan tidak timbul.

“Kita sudah memberikan penjelasan yang cukup jelas, bahawa proses ujian ini iaitu merakam sudah dilaksana lebih awal dan tidak timbul isu Tiktoker terbabit.

“Integriti ini menjadi isu penting sebab itu di peringkat Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) dan KPM, kita memastikan isu integriti ini berjalan dengan mengambil kira semua aspek. Keabsahan, kesahihan dan kredibiliti suara yang dirakam itu,” katanya.

Beliau ditemui media selepas meninjau hari pertama peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di SMK Jalan Empat di Bandar Baru Bangi di sini hari ini. 

Lembaga Peperiksaan (LP) dalam kenyataan semalam turut menafikan dakwaan menggunakan pempengaruh TikTok sebagai pelontar suara bagi UMBI SPM 2022.

LP memaklumkan pelontar suara yang digunakan dalam membina item atau instrumen UMBI SPM 2022 terdiri dalam kalangan guru, pensyarah, murid sekolah atau penuntut universiti serta mereka yang berwibawa dalam berbahasa Inggeris.

Mengulas lanjut Fadlina berkata, KPM menerima baik segala aduan berkenaan isu terbabit dan akan menambah baik proses pelaksanaannya pada masa akan datang. 

“Saya ambil maklum semua aduan terbabit. Kita akan tambah baik dari semasa ke semasa. Sebab ini sudah berlaku lama proses merekod ini sebelum (dibangkitkan) Tiktoker ini lagi,” katanya. 

Perihal UMBI SPM 2022, yang berlangsung pada 16 Februari lalu, tular di media sosial apabila sesetengah netizen mempersoal kredibiliti pelontar audio yang didakwa adalah pempengaruh TikTok manakala calon peperiksaan pula berdepan masalah ketika ujian kerana pertuturan individu terbabit tidak jelas dan laju.

Sementara itu, menyentuh isu sistem pendataan bagi peperiksaan yang didakwa guru sering terganggu, Fadlina menjelaskan, KPM sudah memberi autonomi kepada guru sama ada mahu menggunakan secara di luar talian atau dalam talian. 

“Kita sudah beri opsyen kepada guru dan autonomi juga berjalan. Kita sudah minta semua maknanya guru untuk menggunakan autonomi itu sama ada untuk menggunakan secara ‘offline’ atau ‘online’.

“Template juga sudah diedarkan dan sehingga kini, kita maklum ramai sekolah sudah menerima slip keputusan (peperiksaan) dan untuk sistem yang lain juga kita akan pantau dari semasa ke semasa untuk memastikan kelancarannya,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

UMS utamakan kebajikan pelajar, sedia bantu Crisnanalina daftar pengajian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular