HomeUtamaOps Payung digerakkan pastikan 40,148 calon SPM 2022 di Sabah berjalan lancar

Ops Payung digerakkan pastikan 40,148 calon SPM 2022 di Sabah berjalan lancar

Read Time:2 Minute, 2 Second

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini

KOTA KINABALU : Operasi Payung atau ‘Ops Payung’ akan digerakkan bagi membantu calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di negeri ini sekiranya berlaku bencana banjir berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu pada masa ini.

Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (Sektor Perancangan dan Pengurusan PPD) Mohd Zaini Yanin berkata, persiapan telah dibuat lebih awal bagi memastikan pelajar yang sedang menduduki peperiksaan SPM tidak terjejas.

“Berikutan cuaca yang tidak menentu pada masa ini, kita telah meminta pihak sekolah untuk membantu anak-anak ini duduk di asrama khususnya bagi calon yang jauh agar memudahkan mereka menduduki peperiksaan.

“Selain itu, kita juga telah meminta ibu bapa pelajar khususnya di kawasan terpencil agar menghubungi pihak jabatan untuk kita membantu calon terlibat menduduki peperiksaan sekiranya berlaku banjir,” katanya.

Beliau berkata Ops Payung yang akan digerakkan itu akan turut disertai oleh pelbagai agensi kerajaan, termasuk anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Sementara itu, Zaini berkata, seramai 40,148 pelajar menduduki SPM 2022 melibatkan 314 pusat peperiksaan di negeri ini.

Katanya, daripada jumlah pelajar terbabit, seramai 36,026 orang adalah calon Sekolah Kerajaan, Sekolah Bantuan Kerajaan dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan.

Menurutnya, semua calon terbabit menduduki SPM di 251 pusat peperiksaan yang dibuka di seluruh negeri.

“Bakinya ialah calon Sekolah Agensi Kerajaan iaitu Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) seramai 456 orang membabitkan lima pusat peperiksaan dan calon Sekolah Menengah Agama Negeri seramai 257 orang yang membabitkan enam pusat peperiksaan.

“Selain itu, ada juga calon dari Sekolah Swasta Berdaftar dengan Kementerian Pendidikan (KPM) iaitu seramai 1,242 orang yang membabitkan 16 pusat peperiksaan, manakala seramai 2,167 orang lagi adalah calon persendirian yang menduduki SPM di 36 pusat peperisaan,” katanya.

Sementara itu, katanya turut menduduki SPM 2022 di Sabah ialah seramai 183 calon berkeperluan khas (CBK) dengan jumlah paling ramai bagi kategori masalah pembelajaran iaitu seramai 86 pelajar.

Katanya, ia kemudian diikuti calon kurang upaya fizikal (26), kurang upaya pendengaran (24), kurang upaya penglihatan (rabun) (24), kurang upaya pelbagai (15), kurang upaya pertuturan (lima) dan kurang upaya penglihatan (buta) seramai tiga orang.

Bagi jumlah petugas, katanya seramai 15,281 orang terbabit sepanjang peperiksaan SPM kali ini.

“Daripada jumlah itu, seramai 3,143 orang ialah petugas Ujian Amali Sains, diikuti petugas Ujian Bertutur Bahasa Melayu (3,046), petugas Ujian Bertutur Bahasa Inggeris (2,094), petugas Ujian Mendengar Bahasa Melayu Dan Bahasa Inggeris (3,499) dan petugas Ujian Bertulis (3,499),” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

DUN Sabah : SDB agresif dalam usaha struktur, pulihkan hutang lapuk

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya