HomeUtamaKTYS, IPT Sabah pertama menawarkan Menu Rahmah

KTYS, IPT Sabah pertama menawarkan Menu Rahmah

Read Time:3 Minute, 0 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Sebagai sebuah kolej milik penuh Yayasan Sabah yang prihatin terhadap kebajikan warganya, Kolej Teknikal Yayasan Sabah (KTYS) telah memperkenalkan Menu Rahmah di kedua-dua kafeteria kampusnya yang terletak di Sembulan dan Likas.

Ketua Pegawai Eksekutif KTYS, Haji Samin Ongki berkata, pihak KTYS menawarkan Menu Rahmah kepada warganya kerana ingin membantu meringankan beban kewangan para pekerja, pensyarah, dan pelajar khususnya mereka yang berada dalam kategori B40, dan ini adalah salah satu inisiatif dengan menyediakan makanan dengan harga yang berpatutan di kafeteria kampus KTYS.

Majlis pelancaran Menu Rahmah di kafeteria Citarasa Dapur Kampus (CDK), Kampus Teknikal Likas di sini hari ini.

“KTYS juga merupakan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) pertama di Sabah yang menyahut seruan kerajaan dan menawarkan Menu Rahmah ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Menu Rahmah di kafeteria Kampus Sembulan dan Citarasa Dapur Kampus (CDK), Kampus Teknikal Likas di sini hari ini.

Menurut Haji Samin, konsep Menu Rahmah in menurut Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDNKSH) merupakan sajian makan tengah hari atau malam yang seimbang merangkumi nasi, satu pilihan protein seperti ayam atau ikan, dan sayuran ditawarkan pada harga berpatutan iaitu RM5 sepinggan termasuk secawan minuman.

“Kafeteria di kampus ini menyajikan Menu Rahmah yang dipilih dan direka dengan teliti yang memfokuskan kepada sajian makanan yang berkhasiat dan seimbang.

“Selain bukan sahaja warga di kampus ini tetapi juga kami mengalu-alukan orang luar (awam) juga boleh menikmati sajian Menu Rahmah yang ada di kafeteria kami,” katanya.

Disamping itu, Haji Samin juga turut memaklumkan selain Menu Rahmah, pihak KTYS juga ada menyediakan Tabung Kebajikan bagi pelajar-pelajar yang kurang berkemampuan seperti menyediakan makanan percuma untuk golongan itu.

“Kami di sini ada Tabung Kebajikan pelajar, bagi pelajar-pelajar yang terkesan kami boleh membantu dengan tabung itu.

“Kami juga sekali sekala ada membuat aktiviti masak memasak untuk mereka makan secara percuma, kita juga ada menyediakan makanan pada hari Jumaat dan malam Jumaat, jadi sambutan sangat bagus.

“Bagaimanapun, setakat ini berkenaan dengan subsidi kepada pelajar yang kurang berkemampuan, kami belum bercadang untuk memperkenalkan subsidi tersebut, disebabkan RM5 (Menu Rahmah) itu sudah memadai berbanding dengan harga RM7.50 sebelum ini, jadi ini harga yang betul-betul harga kasih sayang,” ujarnya.

Dalam pada itu Haji Samin turut mengucapkan terima kasih kepada Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDNKSH) Sabah, Georgie Abas kerana hadir sama melancarkan Menu Rahmah di kedua-dua kampus KTYS.

“Terima kasih, saya sangat terharu dengan sokongan padu dari pihak kementerian KPDNKSH, pengarahnya sendiri datang, kami sangat mengalu-alukan dan menyambut baik sambil membantu pelajar-pelajar kami yang kurang kemampuan manakala bagi yang berkemampuan masih banyak lagi menu yang mereka boleh pilih mengikut citarasa masing-masing,” katanya.

Sementara itu, Pengarah KPDNKSH Sabah, Georgie Abas berkata, setakat ini sebanyak 65 pengusaha Menu Rahmah di seluruh Sabah yang telah berdaftar dengan KPDNKSH Sabah.

“65 pengusaha tersebut termasuk kedua-dua kafeteria kampus KTYS yang dilancarkan hari ini, ia juga merupakan IPT pertama yang berdaftar kepada KPDNKSH Sabah bagi menyahut seruan kerajaan untuk menyediakan Menu Rahmah di kampus mereka,” katanya kepada pemberita pada majlis yang sama.

Beliau turut mengalu-alukan akan ramai lagi pengusaha makanan yang menawarkan Menu Rahmah di negeri ini.

“Kita harapkan lebih ramai sudi menyahut seruan kerajaan untuk bantu golongan yang kurang mampu ini bersama-sama menawarkan Menu Rahmah.

“Saya difahamkan Sabah adalah negeri kedua selepas Selangor yang terbanyak menawarkan Menu Rahmah,” katanya.

Untuk rekod, KTYS mempunyai seramai 700 pelajar semasa, 300 pelajar di kampus Sembulan dan 400 pelajar di kampus Likas. Manakala tenaga pengajar KTYS keseluruhan seramai 200 orang.

Hadir sama memeriahkan majlis iaitu Presiden Persatuan Alumni KTYS, Pkhruddin Bian, dan warga KTYS.

RELATED ARTICLES
Utama

G57 sambut baik kenyataan Zahid agar pimpinan & ahli UMNO tidak...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular