HomeUtamaBelanjawan 2023 : Sabah, Sarawak raih manfaat besar

Belanjawan 2023 : Sabah, Sarawak raih manfaat besar

Read Time:1 Minute, 36 Second

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini

Kuala Lumpur: Sebanyak RM 12.1 bilion peruntukan pembangunan diagihkan kepada Sabah dan Sarawak  menerusi Belanjawan 2023.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kedua-dua buah negeri itu akan terus meraih manfaat besar dari peruntukan pembangunan yang disalurkan.

Katanya, Sabah dan Sarawak masing-masing akan meraih peruntukan sebanyak RM6.5 bilion dan RM5.6 bilion.

“Antaranya termasuklah perancangan untuk membangunkan bandar-bandar yang bersempadan dengan Kalimantan, Indonesia seperti Kalabakan, Sabah serta Ba’kelalan, Sarawak dengan kos RM 1 bilion sebagai langkah menyambung perpindahan ibu negara Indonesia ke Kalimantan.

“Selain itu, lebih RM2.5 bilion disediakan bagi melaksanakan projek-projek melibatkan prasarana awam yang kebanyakannya untuk manfaat Sabah dan Sarawak melibatkan projek jalan dan lampu jalan serta bekalan air dan elektrik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan (2023) di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, Kerajaan komited untuk meneruskan dan menyegerakan pelaksanaan lebuh raya Pan Borneo Sabah dan Sarawak-Sabah Link Road yang dianggarkan melibatkan kos keseluruhan RM20 bilion dengan jajaran lebih daripada 1,000 kilometer.

Katanya, bagi memudahkan urusan rakyat di pedalaman Sabah dan Sarawak, Kerajaan akan memperbanyak kemudahan klinik, bank dan mahkamah bergerak dengan peruntukan keseluruhan RM 30 juta.

“Saya juga sebelum ini telah mengumumkan tekad dan ikrar Kerajaan untuk menyerahkan kuasa melulus bagi perolehan projek Persekutuan kepada Jabatan Teknik di Sabah dan Sarawak sehingga 50 juta ringgit bagi mempercepat pelaksanaan projek.

“Pada tahun lalu, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah telah mencapai persetujuan interim untuk pemberian khas tertakluk kepada rundingan bagi formula baharu.

“Pentadbiran ini komited untuk menambah baik kadar Pemberian Khas daripada yang telah dipersetujui sebelum ini dan akan menyegerakan rundingan untuk formula baharu bagi Sabah dan Sarawak,” katanya.

Beliau turut berkata, sekian lama sejak tahun 1970-an, negeri Sarawak hanya menerima pemberian khas sebanyak RM16 juta setahun.

“Kerajaan ini akan meningkatkannya sekurang-kurangnya RM 300 juta,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

KBSS perlu gerak program sesuai untuk belia Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular