HomeUtamaBelanjawan 2023 : KPM pastikan peruntukan diagih secara adil

Belanjawan 2023 : KPM pastikan peruntukan diagih secara adil

Read Time:1 Minute, 54 Second

Kota Kinabalu : Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedang melihat dan membuat unjuran secara menyeluruh bagi memastikan peruntukan Belanjawan 2023 yang dibentangkan semalam diagihkan secara adil termasuk Sabah dan Sarawak.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, ia juga adalah bagi memastikan tiada sekolah atau institusi pendidikan milik KPM yang benar-benar memerlukan tercicir daripada menerima peruntukan yang disalurkan.

“Kita sedang apa yang kita panggil sebagai melihat dan juga melakukan unjuran supaya pembahagian tu adil.

“Jadi kita akan pastikan semua akan dapat cuma dari segi unjuran itu kita akan lihat beberapa formula untuk memastikan tiada sesiapa yang tercicir dalam senarai untuk menerima dan pasti yang menerima itu pastinya betul-betul memerlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan penutupan Konvensyen Pembelajaran Digital anjuran Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) di Dewan Resital Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini hari ini.

Fadhlina berkata demikian bagi mengulas langkah KPM dalam menyelesaikan isu sekolah daif di Sabah dan Sarawak sejajar tumpuan yang ditekankan kerajaan dalam isu itu seperti disebut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2023, semalam.

Perdana Menteri berkata, sebanyak RM2.3 bilion disediakan untuk memastikan infrastruktur dan kemudahan pembelajaran terbaik di semua sekolah termasuk menaik taraf bangunan serta infrastruktur di 380 sekolah daif khususnya di Sabah dan Sarawak melalui kaedah perolehan khas untuk kesegeraan.

Dalam pada itu, Fadhlina berkata pihaknya akan menyegerakan pengagihan 50,000 komputer riba yang dibekalkan kepada sekolah dan institusi KPM seperti diumumkan Perdana Menteri dalam Belanjawan 2023 semalam.

Katanya, pengagihan komputer riba itu juga adalah antara usaha kementeriannya dalam mengatasi masalah ‘kemiskinan peranti’ yang dialami sektor pendidikan dalam mengembangkan kaedah pembelajaran digital.

Tambahnya, kemiskinan peranti adalah antara aspek dalam rangka kemiskinan multi dimensi yang diberi perhatian oleh kerajaan termasuk di KPM.”Pertama ialah kemiskinan peranti.

Dalam pembentangan belanjawan semalam, Perdana Menteri putuskan 50,000 diberi kepada institusi KPM dan sekolah.

“Cuma saya belum tahu beri berapa kepada Sabah, tapi kita pakatlah, berapa yang dapat syukur. Dalam belanjawan akan datang kita ‘fight’ lagi,” katanya.

Pada Belanjawan 2023 semalam, Perdana Menteri menyifatkan pengagihan komputer riba itu penting selari dengan arus pemodenan, keperluan pengajaran dan pembelajaran guru agar segera beradaptasi dengan teknologi digital.

Selain konvensyen hari ini, Fadhlina yang dalam rangka lawatan kerja ke Sabah bermula hari ini turut dijadual meninjau beberapa sekolah daif di daerah Tuaran dan Papar, esok. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Sentiasa peka dengan perubahan cuaca

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular