HomeUtamaKPM semak semula senarai sekolah daif di Sabah, Sarawak

KPM semak semula senarai sekolah daif di Sabah, Sarawak

Read Time:1 Minute, 37 Second

Papar : Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan melihat semula senarai sekolah daif di Sabah dan Sarawak agar peruntukan sebanyak RM900 juta menerusi Belanjawan 2023 dalam mengatasi masalah sekolah daif di negara ini dapat diberi tumpuan.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, ini kerana kedua-dua buah negeri berkenaan banyak mengalami masalah melibatkan sekolah daif.

Katanya, peruntukan yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ini adalah melibatkan 380 buah sekolah daif di seluruh negara yang akan diberikan tumpuan dalam belanjawan pada tahun ini.

“Secara keseluruhan kita ada RM900 juta untuk semua sekolah, bukan Sabah dan Sarawak saja. Tapi kita akan tengok balik Sabah dan Sarawak.

“Sabah adalah antara yang terbanyak (sekolah daif),” katanya ditemui selepas meninjau masalah bangunan tidak selamat dan ancaman banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Kinarut, di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali.

Pada pembentangan Belanjawan 2023 Jumaat lalu, Perdana Menteri berkata sebanyak RM2.3 bilion disediakan untuk memastikan infrastruktur dan kemudahan pembelajaran terbaik di semua sekolah.

Ini termasuk menaik taraf bangunan serta infrastruktur di 380 sekolah daif khususnya di Sabah dan Sarawak melalui kaedah perolehan khas untuk kesegeraan.

Sementara itu, Fadhlina berkata, sebanyak 980 sekolah daif disenaraikan di seluruh negara sejak 2016 hingga ke hari ini dan 380 daripadanya ditumpukan pada belanjawan tahun ini.

Di Sabah, katanya daerah Ranau merekodkan paling banyak sekolah daif iaitu 44 sekolah, manakala lapan sekolah daif dikenal pasti di daerah Papar.

Kebanyakan bangunan di sekolah daif terbabit katanya berada pada skala enam dan tujuh yang bermaksud tidak selamat diduduki.

“Dalam kes bangunan tidak selamat diduduki ini, tindakan kita ialah memindahkan murid ke bangunan yang disediakan.

“Bangunan yang daif itu pula akan diselenggara tetapi bagi yang berada pada skala enam dan tujuh, bangunannya perlu diganti.

“Ia berbeza dengan bangunan usang kerana ada yang usang tapi tidak daif dan masih boleh digunakan, manakala daif bermakna murid perlu dikeluarkan dari bangunan itu,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

KKM sasar sifar kes kusta menjelang 2030

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular