HomeUtamaTujuh keutamaan akan dilaksanakan bagi pembangunan kebudayaan di Sabah

Tujuh keutamaan akan dilaksanakan bagi pembangunan kebudayaan di Sabah

Read Time:3 Minute, 6 Second

TUARAN: Kerajaan menetapkan tujuh keutamaan untuk dilaksanakan bagi pembangunan kebudayaan yang ada di negeri ini, yang bermula sejak tahun 2021 hingga 2030, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Ketua Menteri yang juga Presiden Persatuan Rumpun Bajausama Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menandatangani plak sebagai tanda perasmian Duang Festival di Pusat Kebudayaan Rumpun Bajausama Sabah di Kampung Lok Batik di Tuaran, pada Ahad. – Foto ihsan JKM

Tujuh keutamaan itu ialah pendigitalan seni budaya atau eCulture; pelancongan budaya bersepadu; pemuliharaan budaya; pengukuhan hubungan etnik; penyelidikan dan dokumentasi budaya; pengembangan seni budaya dan perlindungan harta intelek.

“Sebanyak tujuh keutamaan itu sejajar dengan inisiatif Sabah Maju Jaya dalam pembangunan budaya pelbagai etnik di Sabah dan peranan itu dipertanggungjawabkan kepada Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah.

“Kita mahu menerusi tujuh keutamaan ini semua badan kebudayaan dan komuniti membangun bersama, menghayati dan seterusnya menjiwai nilai kebudayaan yang mereka warisi dari generasi yang terdahulu dan diwariskan kepada generasi akan
datang,” katanya ketika merasmikan Duang Festival di Rumah Kebudayaan Rumpun Bajausama di Kampung Lok Batik, di sini pada Ahad.

Beliau berkata di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12), kerajaan telah meluluskan empat projek berimpak besar dengan peruntukan sebanyak RM4,500,000.00 iaitu Projek Pemetaan Budaya 2021-2025 dan Pelan Pembangunan Kebudayaan Negeri Sabah 2020 -2030,

“Selain itu, projek meningkatkan produk pelancongan budaya Pusat Kebudayaan Murut Sabah di Tenom dan projek meningkatkan infrastruktur Pusat Kebudayaan Sabah Penampang. Kesemua projek ini sedang dalam proses pelaksanaan.

“Kerajaan turut memperuntukkan sebanyak RM9.5 juta kepada Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS) dalam Belanjawan 2023 Sabah untuk melaksanakan pelbagai program bagi memulihara kekayaan dan warisan seni budaya etnik negeri ini.

“Ia termasuk Hentian Budaya (Cultural Pit-Stop) yang telah dirangka untuk memperkasakan industri pelancongan berasaskan budaya dengan dua lokasi baharu di Kota Belud dan Tawau,” katanya.

Ketua Menteri turut menyeru semua pemimpin masyarakat, jabatan dan agensi kerajaan negeri serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan semua lapisan masyarakat di negeri ini agar terus memperkasa dan memelihara seni, budaya dan adat tradisi bangsa dengan sebaik-baiknya.

Mengenai festival itu, Hajiji yang juga Presiden Persatuan Rumpun Bajausama Sabah, berkata Duang Festival yang julung kali diadakan mampu menjadi wadah untuk
mengetengahkan budaya dan tradisi daripada kepelbagaian etnik di Sabah kepada pengunjung dan generasi muda.

“Insya Allah, festival ini akan dianjurkan setiap tahun pada bulan Februari dan telah dimasukkan dalam kalendar pelancongan. Saya yakin festival ini dapat mengangkat nama daerah Tuaran sebagai destinasi pelancongan yang menarik.

“Selain Pusat kebudayaan Rumpun Bajausama Sabah, di Tuaran ini juga banyak tempat-tempat menarik seperti Tembara River Cruise, Taman Buaya, Linangkit Cultural Village, Rumah Terbalik, Rumah Semut dan banyak lagi di daerah Tamparuli dan Kiulu

“Kita berasa bangga kerana di Sabah, kita mempunyai pelbagai budaya daripada 35 etnik dan 217 sub-etnik, dengan semuanya mempunyai budaya dan bahasa masing-masing,” katanya.

Hajiji juga berharap semua persatuan etnik di negeri ini akan terus membangunkan dan memartabatkan budaya masing-masing bagi memastikan ia tidak pupus, sebaliknya dapat dikenali ke peringkat antarabangsa.

Dalam pada itu, beliau berkata kekayaan budaya adalah khazanah negeri yang amat bernilai untuk terus dipertahankan sebagai sumber ekonomi negeri melalui industri
pelancongan, industri seni kreatif, termasuklah industri kecil dan sederhana, berasaskan komuniti di Sabah.

“Dengan ketibaan pelancong yang semakin meningkat dan Sabah merekodkan seramai 1,012,119 pengunjung bagi tahun 2022, ini adalah satu peluang besar untuk semua
persatuan etnik memperkenalkan keunikan khazanah budaya masing-masing.

“Di negara seperti Indonesia dan Thailand, industri kreatif, seni dan budaya adalah pemacu ekonomi yang sangat tinggi. Kejayaan mereka ini perlu dicontohi untuk membangunkan produk kepelbagaian budaya etnik yang ada di negeri ini,” katanya.

Festival selama empat hari bermula Khamis lalu, menyaksikan pelbagai acara keseniaan dan kebudayaan daripada masyarakat Bajausama seperti sepak manggis, pertandingan tarian tradisi Limbai, pertiandingan betitik, bintang soromas (suara emas) dan acara kemuncak pertandingan Ratu Serimpak.

RELATED ARTICLES
Utama

Hajiji terima kunjungan hormat delegasi US-ASEAN Business Council

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular