HomeSukanLiga Super : Tidak mahu terlalu yakin, perlu terus fokus

Liga Super : Tidak mahu terlalu yakin, perlu terus fokus

Read Time:1 Minute, 36 Second

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini

Kota Kinabalu: Pengendali Sabah FC Datuk Ong Kim Swee tidak mahu para pemain terlalu yakin meskipun berjaya meraih kemenangan pertama menewaskan PDRM FC 4-0 dalam saingan Liga Super di Stadium Likas di sini malam tadi.

Namun katanya, para pemain perlu kembali fokus untuk perlawanan seterusnya bagi mengutip mata penuh selain misi memburu kedudukan terbaik dalam liga musim ini.

“Ini hanya satu perlawanan pertama, jadi kita tidak boleh terlampau yakin namun mendapatkan tiga mata amat penting untuk perlawanan pembukaan.

“Selepas ini banyak lagi perlawanan yang akan kita lalui, saya percaya selepas ini perlawanan akan datang bukan satu perlawanan yang mudah dan yang penting kita harus kekal fokus dengan apa yang kita lakukan pada perlawanan akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas tamat perlawanan di sini semalam.

Dalam pada itu, Kim Swee berkata, semua pemain dalam pasukan Sabah FC adalah dianggap sebagai kesebelasan utama.

Katanya, semua pemain Sabah FC yang akan diturunkan mesti memberikan persembahan yang terbaik bagi memastikan kemenangan dalam setiap perlawanan selepas ini yang disifatkannya akan lebih mencabar selepas pertemuan dengan PDRM FC semalam.

“Kita melakukan persiapan selama lapan minggu dan kita mempunyai ramai pemain sekarang yang boleh menggantikan pemain sedia ada tapi dalam pasukan Sabah FC tiada istilah kesebelasan utama.

“Bagi saya kesemua pemain yang didaftarkan adalah kesebelasan kita dan saya berharap setiap pemain yang diturunkan pada perlawanan akan datang, mereka menunjukkan prestasi yang sama seperti mana pemain lain lakukan,” katanya.

Dalam aksi malam tadi, Sabah FC menjaringkan dua gol pada setiap separuh masa dengan dua daripadanya disumbangkan Saddil Ramdani, masing-masing pada minit ke-12 dan minit ke-71.

Dua gol lagi dijaringkan Park Taesu pada minit ke-36, disusuli Stuart John Wilkin pada minit akhir permainan.

Keputusan malam tadi meletakkan Sabah FC berada di tangga pertama Liga Super dan selepas ini, Sabah FC bakal bertemu Kelantan United FC juga di Stadium Likas pada Rabu ini. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Sukan

Sabah FC perlu penyerang baharu, atasi bahagian serangan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular