HomeUtama102 individu ditahan dalam Operasi Bersepadu dilaksanakan ESSCOM

102 individu ditahan dalam Operasi Bersepadu dilaksanakan ESSCOM

Read Time:2 Minute, 3 Second

Semporna : Seramai 102 individu berjaya ditahan pihak Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dalam satu Operasi Bersepadu (OB) di 11 buah lokasi di daerah ini.

Sepanjang operasi yang dilaksanakan selama tujuh hari berakhir semalam itu telah memeriksa seramai 1,555 individu.

Komander ESSCOM Deputi Komisioner Datuk Hamzah Ahmad berkata, OB yang diadakan di daerah ini adalah bagi memastikan persekitaran sejagat terus terjamin dan selamat demi kepentingan pembangunan sosio ekonomi sekitar daerah ini.

“Hasilnya seramai 102 individu ditahan bagi tujuan dokumentasi manakala seramai 14 warga Filipina berusia lingkungan 17 hingga 47 tahun ditangkap atas kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002), Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Akta Pasport 1966.

“Sebanyak 11 lokasi di daerah ini termasuk Pulau Bum Bum dan pondohon di Gugusan Pulau Bodgaya dan Bohey Dulang telah diperiksa melibatkan pemeriksaan sebanyak 440 buah rumah dan premis niaga oleh Bahagian Penguatkuasa Pejabat Daerah Semporna, Majlis Daerah Semporna (MDS) dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Hamzah berkata, sepanjang tempoh OB itu dilaksanakan, penguatkuasaan saman dan kompaun oleh MDS turut dilaksanakan selain pemotongan sambungan haram elektrik dan rampasan sebanyak 110 kilogram kabel elektrik oleh Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB).

Katanya, di bawah Akta Makanan 1983 sebanyak tiga keping kompaun dikeluarkan berkaitan dengan keselamatan pengendalian makanan dan dua keping notis kompaun di bawah Market Law Act 1972 atas sebab telah tamat tempoh lesen berniaga.

“JTK juga turut mengeluarkan dua keping notis pematuhan di bawah Ordinan Buruh (Sabah Cap.67) kerana kegagalan majikan menunjukkan salinan penyata gaji kepada pekerja.

“Selain itu, sebanyak 316 buah kenderaan telah diperiksa dan 76 keping saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalulintas di bawah Akta Pengangkutan Jalan Raya (APJ) 1987,” katanya.

Sementara itu, Hamzah turut merakamkan penghargaan kepada semua jabatan dan agensi terlibat khususnya para pegawai dan anggota yang menjayakan operasi dengan kekuatan purata seramai 81 anggota.

Pihaknya juga  berharap agar operasi seumpama itu akan terus dapat dilaksanakan bagi mengekang anasir tidak sihat dan elemen jenayah rentas sempadan yang berpotensi dibawa masuk oleh pendatang asing tanpa izin (PATI).

“ESSCOM juga akan terus mempergiat operasi seumpama ini bagi mengekang    mana-mana elemen yang boleh mengganggu-gugat keselamatan dan kesejahteraan awam akibat kebanjiran PATI khususnya di pantai Timur Sabah.

“Sehubungan itu, masyarakat diseru untuk menyalurkan maklumat berkaitan sebarang insiden keselamatan di ESS Zone ke Pusat Operasi ESSCOM di talian 089-863 181 atau melalui aplikasi WhatsApp di talian 011-63311072,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Tragedi Lemas di Pantai Bundusan: Dua Mangsa Ditemui Meninggal Dunia

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular