Papar : Institut Latihan Teknik dan Perdagangan (ILTP) telah berjaya melahirkan seramai 964 graduan sejak 2018 hingga tahun lalu.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, pada tahun ini dianggarkan seramai 251 orang pelatih akan menamatkan latihan di ILTP.
“Pada tahun 2021, daripada 161 orang graduan Konvokesyen Mac 2021, seramai 106 orang ataupun 66 peratus berjaya mendapat pekerjaan.
“Manakala daripada 112 orang graduan konvokesyen Disember 2021, seramai 67 orang atau 60 peratus berjaya mendapat pekerjaan,” katanya ketika berucap sempena lawatan rasmi ke Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (JPSM) Sabah di sini hari ini.
Mohd Arifin berkata, bagi konvokesyen Jun 2022, daripada 131 orang graduan, seramai 68 orang atau 52 peratus berjaya mendapat pekerjaan.
Katanya, ini jelas menunjukkan bahawa graduan ILTP berjaya menempatkan diri dalam industri kerjaya di negeri Sabah khususnya.
“ILTP yang merupakan satu-satunya institut latihan di bawah Kerajaan Negeri, merupakan institusi latihan kemahiran vokasional yang memberi peluang kepada anak-anak untuk menimba ilmu kemahiran dalam bidang teknikal dan perdagangan.
“Saya percaya ramai graduan ILTP telah berjaya di luar sana serta dapat memperbaiki taraf hidup diri dan keluarga masing-masing,” katanya.
Sementara itu, Mohd Arifin berkata, JPSM juga merupakan rakan Kerjasama Strategik dengan Universiti Kuala Lumpur (UniKL), yang mana seramai lima orang graduan ILTP telahpun menamatkan Latihan di peringkat diploma dan tiga orang lagi sedang menjalani pengajian.
Beliau berharap anak-anak ILTP akan terus berusaha melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi dan berhubung dengan Pengurusan JPSM bagi merealisasikan cita-cita.
“Anak-anak harus melihat ke hadapan bagi meningkatkan mutu diri terutama bagi membantu meningkatkan lagi taraf ekonomi keluarga dalam menentukan hala tuju.
“Melengkapkan diri dengan pakej ilmu pengetahuan dan kemahiran sejajar dengan kemajuan negeri dan keperluan industri adalah satu kemestian.
“Anak-anak harus membuka minda dan berani untuk meneroka dan berhijrah keluar dari negeri Sabah bagi mendapat pekerjaan yang bersesuaian sekiranya jenis pekerjaan yang diperlukan tidak ditawarkan di negeri ini,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Arifin berkata, JPSM dengan kerjasama PERKESO Sabah sering mengadakan karnival pekerjaan di seluruh negeri Sabah dengan menyediakan majikan dan peluang pekerjaan.
“Oleh itu, saya sekali lagi menyarankan, rebutlah peluang dengan menghadiri temu duga dan mendapatkan pekerjaan demi menjamin masa depan,” katanya. – SABAH MEDIA