HomeUtamaKegiatan seleweng diesel di Inanam tumpas - KPDNKSH

Kegiatan seleweng diesel di Inanam tumpas – KPDNKSH

Read Time:1 Minute, 43 Second

KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDNKSH) Negeri Sabah berjaya menumpaskan kegiatan penyelewengan barang kawalan diesel dalam satu operasi di sebuah stor tidak bernombor di Kampung Kionsom, Inanam semalam ( 27 Feb).

Hasil serbuan pada jam 5.20 petang itu, pasukan serbuan telah menjumpai dan menyita sebanyak 17,195 liter minyak diesel di dalam lori tanker, skid tank dan tong drum beserta alat-alat yang disyaki digunakan untuk menyeleweng iaitu sebuah lori tanker, electronic pump dan hos dengan nilai sitaan keseluruhan berjumlah RM93,660.25.

Pengarah KPDNKSH Sabah Georgie Abas berkata, seorang lelaki warga tempatan yang dipercayai pemilik stor di lokasi serbuan turut ditahan dan diambil keterangan bagi tujuan membantu siasatan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Katanya, risikan telah dijalankan selama tiga hari oleh KPDNKSH Sabah sebelum serbuan dijalankan.

“Berdasarkan keterangan awal daripada pemilik stor di tempat kejadian, barang kawalan tersebut diperolehi daripada pembekal diesel industri yang sah. Walau bagaimanapun pemilik stor tersebut gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran dan lesen yang sah untuk menyimpan barang kawalan di lokasi berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurut Georgie, sebagai tindakan lanjut, kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana menyimpan barang kawalan di tempat yang tidak mendapat kebenaran pengawal.

“Siasatan juga akan dilakukan di bawah Seksyen 21 akta sama kerana memiliki barang kawalan dengan tujuan untuk melakukan kesalahan yang dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana menjalankan urus niaga barang kawalan tanpa lesen.

“Di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122), mana-mana individu yang disabit dengan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Bagi syarikat pula, jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman denda tidak melebihi RM2 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta,” jelasnya.

Tambahnya, pihak kementerian juga akan mengambil tindakan tegas dengan menggantung sementara lesen pengusaha stesen minyak yang terlibat sehingga siasatan selesai dijalankan.

RELATED ARTICLES
Utama

Tinjauan di MBCA, teroka khazanah alam tersembunyi – Ghulam

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular