Sabah alu-alukan pelabur dari Arab Saudi khususnya di SOGIP – Rahman Dahlan

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 3 Second

TUARAN: Pengerusi Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP), Datuk Abdul Rahman Dahlan bertemu Menteri Pelaburan Arab Saudi Khalid AlFalih semasa lawatannya di Riyadh baru-baru ini.

Dalam pertemuan, Abdul Rahman berkata, mereka banyak membincangkan mengenai masa depan kedua-dua negara itu Malaysia dan Arab Saudi.

“Kami bincang banyak perkara mengenai masa depan kedua-dua negara. Saya juga maklumkan juga peluang-peluang besar untuk pelaburan dari Arab Saudi di Sabah, termasuk di kawasan Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang yang dipengerusikan oleh saya,” katanya dalam satu kenyataan menerusi laman Facebook rasminya dua hari lepas.

Katanya, beliau berjumpa dengan sahabat lamanya, Khalid yang dipertanggungjawabkan oleh Raja Salman untuk menjadi salah satu menteri utama dalam merealisasikan Visi 2030 Arab Saudi.

“Seorang yang peramah, berpengalaman dan berpandangan jauh, hubungan kami sudah bertukar dari hubungan rasmi sebagai menteri kepada hubungan persahabatan yang akrab,” katanya.

Abdul Rahman turut berkata, pertemuan itu juga membincangkan peluang pelaburan dan perniagaan untuk syarikat-syarikat Malaysia di Arab Saudi.

“Dengan wujudnya projek-projek infra baru seperti The Line, NEOM City, lapangan terbang dan pelabuhan serta sistem pengangkutan darat, syarikat-syarikat Malaysia yang berpengalaman boleh mengambil peranan besar di Arab Saudi,” ujarnya.

Sehubungan dengan itu beliau turut berharap hubungan kedua-dua negara dipelihara oleh Allah SWT demi masa depan bersama.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *