HomeUtamaIsu air di Sandakan, Pengarah JANS akan dipanggil beri penjelasan

Isu air di Sandakan, Pengarah JANS akan dipanggil beri penjelasan

Read Time:1 Minute, 29 Second

Kota Kinabalu: Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) akan dipanggil bagi memberi penjelasan mengenai dakwaan Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee berhubung bekalan air bersih di daerah itu yang dikatakan rasa masin selain berdepan masalah tekanan rendah.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, pihaknya juga turut memandang serius terhadap perkara tersebut selain mahu pengarahnya mengambil tindakan segera untuk mengatasi masalah berkenaan.

“Saya ada berhubung dengan YB (Yang Berhormat) Vivian semalam. Dia menyuarakan isu berkaitan air yang masih terasa masin dan juga tekanan air yang rendah sedang dialami di Sandakan.

“Beliau juga menyatakan rasa tidak puas hati dengan maklum balas dari JANS,” katanya ketika di hubungi di sini hari ini.

Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya berkata demikian bagi mengulas dakwaan Vivian berhubung bekalan air dibekalkan JANS kepada pengguna di Sandakan yang rasa masin, selain tekanan rendah dan kerap terputus.

Justeru beliau berkata, Pengarah JANS akan dipanggil bagi menjelaskan mengenai dakwaan itu hari ini.

“Saya akan mengadakan perbincangan dengan Pengarah JANS tengah hari ini untuk mendapatkan status dan langkah bagi mengurangkan masalah yang sedang dihadapi,” katanya.

JANS merupakan salah satu jabatan Kerajaan Negeri yang terletak di bawah tanggungjawab Kementerian Kerja Raya (KKR) Sabah.

Terdahulu, Vivian dalam kenyataannya semalam meminta Pengarah JANS dilucutkan jawatan serta-merta dan memohon maaf atas pengurusan yang gagal dan ketidakcekapan kerja.

Katanya, akibat masalah air yang berlaku itu turut menyebabkan penduduk Sandakan terpaksa menggunakan dan meminum air masin yang kini berlarutan selama hampir tiga bulan.

Pada masa yang sama, beliau mendakwa bekalan air di Sandakan juga sering terputus berikutan penutupan Loji Rawatan Air (LRA) Segaliud beberapa kali untuk kerja-kerja pembaikan paip.

Vivian turut mendakwa ramai pengguna yang terkesan akibat keadaan itu termasuk mengalami alahan kulit disebabkan kualiti air yang rendah selain berdepan ketidakselesaan berikutan bekalan sering terputus. –SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Siap sedia hadapi kemungkinan banjir – Ruslan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya