HomeUtamaGagasan Rakyat perkukuh citra perjuangan GRS

Gagasan Rakyat perkukuh citra perjuangan GRS

Read Time:5 Minute, 30 Second

KOTA KINABALU: Kehadiran Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) akan memperkukuh citra perjuangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai satu jajaran lokal dan formula tempatan,” kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Katanya, Gagasan Rakyat sebagai sebuah wadah “Solidariti Suara Sabah” akan membawa citra kesatuan masyarakat berbilang kaum yang mendokong agenda Sayangi Sabah yang menjadi landasan GRS dengan teras perjuangan Sabah First, Sabah Forward, Sabah Prosper dan Sabah United.

Hajiji bersama Ahli Majlis Tertinggi dan penyokong Parti Gagasan Rakyat Sabah semasa majlis pelancaran Gagasan Rakyat di SICC hari ini.

Beliau yakin, solidariti akan menjadikan suara Sabah lebih kuat dan berkesan. Kita kuat apabila kita bersatu. Kita akan dihormati sekiranya kita kuat dan bersatu.

“Permuafakatan GRS bukan sekadar penting untuk kita di Sabah, malah amat bermakna untuk membina kesatuan dan kekuatan dalam memastikan kepentingan Sabah terus terbela dalam Persekutuan Malaysia”, katanya.

Beliau yang juga Presiden Gagasan Rakyat berkata demikian pada Majlis Pelancaran Gagasan Rakyat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), hari ini.

Katanya, berdasarkan perubahan sentimen di peringkat akar umbi, rakyat Sabah mahukan parti tempatan bersifat lokal untuk menerajui kerajaan negeri.

“Memang benar, kita tidak seharusnya menolak kerjasama dengan parti nasional kerana kita perlu hidup dalam ekosistem federal dalam sebuah negara. Namun dari segi kerangka governan negeri, rakyat mahukan sebuah kerajaan yang diterajui citra lokal.

“Kehadiran parti-parti bersifat nasional tetap relevan selagi semangat, teras, dan agenda perjuangan negeri tidak sesekali dikompromi. Sinergi elemen lokal dan nasional perlu berlandaskan kepada prinsip meletakkan kepentingan negeri sebagai agenda keutamaan (Sabah First) dan memposisikan kepentingan negeri itu sebagai komponen penting agenda nasional.

“Ini kerana Sabah yang lebih maju dan jaya pastinya menyumbang kepada pembinaan Persekutuan Malaysia yang Madani iaitu konsep bercitrakan kemajuan yang lebih holistik merangkumi segenap aspek”, tegasnya.

Hajiji berkata, rakyat Sabah mahu negeri ini dipayungi oleh kerajaan yang berciri multi-
parti, bukan bersifat parti tunggal, sebuah kerajaan yang mempunyai elemen “check and balance” yang cukup kuat lagi inklusif.

Menurutnya, jika ditinjau sejarah, tiga kerajaan pertama Sabah sebenarnya adalah parti tempatan, tetapi bersifat “parti tunggal.

“Kita belajar dan mengambil teladan dari pengalaman panjang yang telah kita lalui bersama. Kita harus melaksanakan pembaharuan dengan model perkongsian kuasa yang lebih inklusif dan membina.

“Kita harus mengelakkan daripada kuasa terpusat dengan sangat kuat kepada satu kutub tertentu, sama ada condong kepada kumpulan yang diwakili atau terikat kepada kecenderungan sesebuah kepimpinan”, tegasnya.

Hajiji turut mengajak dan menyeru rakan-rakan daripada parti-parti lain yang berkongsi agenda perjuangan untuk menganjak kerjasama yang lebih bernilai dan bermakna dengan GRS atas landasan Muafakat Sabah.

Katanya, muafakat ini perlu disimpul bukan hanya di peringkat kepimpinan, malah perlu dikembangkan ke peringkat akar umbi.

Beliau berkata, GRS akan sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak yang menjunjung dan mengiktiraf hak dan kepentingan Sabah, termasuk menghormati kebebasan dan keabsahan pemimpin dan rakyat Sabah dalam menentukan barisan kepimpinan teraju kerajaan negeri.

“Sebagaimana peristiwa mutakhir yang telah kita lalui baru-baru ini, kita amat
menghargai budaya dan komitmen politik kepimpinan parti-parti nasional yang menghormati keputusan pemimpin-pemimpin tempatan dalam menentukan hala tuju kepimpinan negeri. Pendekatan ini sekali gus memelihara kredibiliti dan legitimasi para
pemimpin mereka di peringkat negeri yang dipilih oleh rakyat akar umbi di Sabah”, tegasnya.

Hajiji juga merakamkan ucapan penghargaan kepada setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang telah memberikan mandat dan kepercayaan kepadanya untuk terus menerajui kerajaan negeri.

Beliau bersyukur di sebalik kemelut yang berlaku, dia didokong oleh sebuah pasukan yang lebih inklusif serta responsif kepada keutamaan dalam menjayakan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ)

Katanya, Hala Tuju SMJ yang akan genap dua tahun pelaksanaannya pada 29 Mac 2023 telah melakar kejayaan demi kejayaan, termasuk peningkatan hasil negeri menghampiri paras RM7 bilion berbanding paras RM4 bilion ketika bermula.

“Kita perlu memastikan segala perancangan dilaksanakan, disamping mengenal pasti strategi serta meneroka peluang dan potensi baharu. Ini termasuk usaha untuk menarik lebih banyak pelaburan ke Sabah di bawah inisiatif mesra pelabur SMJ. Sehingga kini, kita telah mencapai rekod pelaburan langsung asing serta pelaburan domestik berjumlah RM33.4 bilion”, tambahnya.

Menyentuh pencapaian Kerajaan GRS, Hajiji berkata dalam tempoh 2 tahun mengambil alih tampuk pemerintahan, banyak kejayaan yang memberi apa yang terbaik kepada rakyat dan negeri, antaranya ialah pemeteraian perjanjian Commercial Collaboration
Agreement (CCA) dengan pihak Petronas yang berprinsipkan “Greater Say, Greater Participation dan Greater Revenue” untuk membangunkan industri minyak dan gas di Sabah.

“Sejak pemeteraian perjanjian ini, kita telah menandatangani beberapa perjanjian penting termasuk pembekalan gas asli kepada Sabah Energy Corporation Sdn Bhd [SEC] menjadikan SEC sebagai pembekal dan pengangkut gas asli domestik terbesar di Sabah.

“Selain itu, Sabah juga akan memperoleh 25 peratus kepentingan penyertaan dalam loji petrokimia Sabah Ammonia Urea (SAMUR) dan awal bulan February lalu, kita telah menandatangani dua perjanjian iaitu, satu, mengenai back-in option Kontrak Perkongsian Pengeluaran (atau Production Sharing Contract) telaga minyak dan gas yang memberikan Kerajaan Negeri Sabah sehingga 20 peratus kepentingan penyertaan dan kedua, memberi kita 50 peratus kepentingan penyertaan dalam telaga minyak dan gas Samarang. Kita akan meneruskan usaha untuk mendapatkan lebih banyak kepentingan penyertaan dengan Petronas”, tegasnya.

Hajiji juga berasa gembira kerana usaha mengejar dan menuntut hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) telah menunjukkan banyak kemajuan sejak mengambil alih tampuk pemerintahan.

Katanya, dalam Mesyuarat MA63 di Kuching pada 20 Januari lalu bersama Perdana
Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau secara peribadi telah memberitahunya bahawa adalah tidak adil negeri Borneo iaitu Sabah dan Sarawak tidak mendapat apa yang sepatutnya untuk kita.

Beliau berkata, PM telah mengumumkan bahawa semua isu tertunggak dalam MA63 sudah melepasi proses perbincangan dan kini dalam peringkat pelaksanaan.

“Satu-satunya isu tertunggak ketika ini adalah mengenai aspek teknikal dan kita akan bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan untuk memastikan semua tuntutan dipercepatkan.

“Terkini, kita akan melihat penyerahan kuasa kawal selia elektrik kepada Sabah berjalan dengan lancar pada 1 Januari 2024 bagi membolehkan Sabah menubuhkan Suruhanjaya Tenaga Elektriknya sendiri”.

“Kami bertegas menyeru agar Kerajaan Persekutuan menyegerakan kajian semula Artikel 112D berkaitan tuntutan 40 peratus perkongsian hasil dan pemberian khas, pendirian kami menolak Akta Laut Wilayah 2012 yang mengehadkan sempadan maritim negeri kepada hanya tiga batu nautika dan mengekalkan bahawa sempadan laut kita hendaklah melebihi 200 batu nautika mengikut Perintah Borneo Utara (Pengubahan Sempadan) termaktub dalam Majlis 1954”.

“Ini adalah bukti komitmen kita yang tidak pernah berhenti untuk menuntut apa yang terbaik kepada rakyat melalui pengurusan yang berkesan dan berhemat. Ini adalah komitmen dan ikrar saya sebagai Ketua Menteri bahawa kerajaan saya akan melakukan
yang terbaik dengan sokongan berterusan daripada rakyat”.

“Marilah bekerja bersama saya dengan satu matlamat utama; kita tangani isu-isu rakyat dan bina masa depan Sabah yang lebih maju dan berjaya. Kita teruskan dan lonjakkan momentum pembangunan negeri. Kita buktikan Muafakat Sabah yang kita rintis ini adalah pilihan tepat dan terbaik untuk tanah air tercinta”, tegasnya.

RELATED ARTICLES
Utama

Pasukan sukarelawan dicadang diwujudkan bantu mangsa banjir

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular