Wanita didakwa tipu pakej umrah dan Haji

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 17 Second

KUALA PILAH: Seorang wanita dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas tiga pertuduhan menipu dan menawarkan pakej umrah dan haji tanpa lesen sah.

Tertuduh, Nur Zaidani Akmal Abd Majid, 39, mengaku tidak bersalah sebaik semua pertuduhan dikemukakan terhadapnya di hadapan Majistret, Saiful Sayoti.

Bagi tuduhan pertama, dia didakwa memperdaya seorang warga emas berusia 61 tahun, untuk memindahkan wang RM14,000 sebagai bayaran pakej umrah dan haji bagi tahun ini.

Dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, yang sabit kesalahan boleh dipenjara di antara setahun hingga 10 tahun dengan sebat dan denda.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menawarkan pakej umrah tanpa memiliki lesen dikeluarkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya lapor portal Berita Harian.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 5(2) Akta Industri Pelancongan yang membawa denda sehingga RM500,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Dia turut didakwa menawarkan pakej haji tanpa lesen pengelola yang dikeluarkan Lembaga Tabung Haji.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 27 (1) (a) Akta Tabung Haji 1995, yang boleh didenda sekurang-kurangnya RM100,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.

Ketiga-tiga kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh di sebuah premis dekat Tanjung Ipoh, Kuala Pilah, di antara jam 8.46 pagi hingga 9.52 malam pada 27 Disember lalu hingga 27 Januari tahun ini.

Prosiding pendakwaa dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Peh Fong Xi, manakala tertuduh belum diwakili peguam bela.

Majistret kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM11,500 bagi tiga pertuduhan itu dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes pada 3 April ini.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *