HomeUtamaEwon terima kunjungan Duta Besar Algeria

Ewon terima kunjungan Duta Besar Algeria

Read Time:1 Minute, 19 Second

Putrajaya : Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick menerima kunjungan hormat daripada Duta Besar Republik Demokratik Rakyat Algeria ke Malaysia, Saad Maadi di pejabat menteri, di sini, semalam.

Dalam kunjungan itu pelbagai perkara dibincangkan termasuk bagi memantapkan lagi kerjasama pembangunan perusahaan kecil dan sederhana antara Malaysia – Algeria.

Antaranya, cadangan Algeria mengadakan kerjasama dalam bidang keusahawanan melalui perjanjian persefahaman (MoU) dengan Malaysia.

MoU yang dicadangkan bertujuan memperkukuh, menggalak dan meningkatkan lagi kerjasama ekonomi dan komersial dalam bidang perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Ewon berkata, pada dasarnya beliau bersetuju dengan cadangan MOU tersebut bagaimanapun perkara itu perlu dimuktamadkan di kabinet.

“Malaysia menghargai hubungan baik dengan Algeria kerana negara itu adalah rakan kongsi strategik dan ekonomi yang penting di Afrika untuk negara ini,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Ewon turut mengalu-alukan komuniti perniagaan Algeria meneroka kerjasama dengan PKS Malaysia dalam pelbagai industri terutama pasaran produk halal.

“Bidang lain yang berpotensi termasuk sektor perkhidmatan, francais, perusahaan sosial (SE) dan ekonomi digital.

“Pada tahun ini, KUSKOP akan memberi tumpuan lebih dalam pendigitalan dan penyesuaian teknologi dalam kalangan PKS. Saya yakin ada peluang untuk kita bekerjasama dalam bidang ini,” katanya.

Ewon berkata, KUSKOP mengalu-alukan perbincangan lanjut bagi memantapkan lagi kerjasama ekonomi dan perdagangan antara dua negara.

“Malaysia mempunyai lebih 1.25 juta pertubuhan perniagaan berdaftar, 76 peratus daripadanya adalah perusahaan mikro. Oleh itu, kerjasama antara Malaysia-Algeria dalam bidang perusahaan mikro amat bersesuaian.

“Empat agensi di bawah KUSKOP yang mempunyai kemudahan tertentu dalam perusahan mikro ialah Tekun Nasional, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), SME Corp Malaysia dan Institut Keusahawanan Negara (INSKEN),” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

UMS utamakan kebajikan pelajar, sedia bantu Crisnanalina daftar pengajian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular