Satu perlawanan yang bukan mudah -Kim Swee

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 21 Second

Kuching : Aksi perlawanan antara Sabah FC menentang Kuching City FC dalam saingan Liga Super 2023 di Stadium Negeri semalam menunjukkan satu keinginan cukup tinggi untuk kedua-dua pasukan mencipta kemenangan.

Ketua Jurulatih Sabah FC Datuk Ong Kim Swee berkata, ini kerana pasukan tuan rumah sebelum ini telah tewas dengan jumlah jaringan besar ditangan pasukan Selangor FC.

“Ini merupakan satu perlawanan yang bukan mudah dimana kita tahu hujan yang turun tanpa henti sejak semalam dan keadaan padang bagi saya tidak sesuai.

“Apa yang kita dapat lihat, persembahan kedua-dua pasukan dimana pemain banyak melakukan hantaran-hantaran jauh diantara satu sama lain.

“Namun bagi saya perlawanan malam ini hanya membuktikan tentang kesungguhan dan keinginan kedua-dua pasukan.  Apa yang saya lihat kedua-dua pasukan menunjukkan keinginan yang cukup tinggi,” katanya dalam sidang media selepas tamat perlawanan semalam.

Pada perlawanan itu, Sabah FC berjaya mengekalkan rentak kemenangan kali ketiga berturut-turut dengan menewaskan Kuching City FC 2-1.

Gol Sabah FC masing-masing dijaringkan Saddil Ramdani pada minit ke-23 dan Telmo Castanheira pada minit ke-57 manakala gol tunggal Kuching City FC dijaringkan Abu Kamara pada minit ke-46.

Kim Swee berkata, kekalahan Kuching City FC sebelum ini juga menunjukkan kebangkitan mereka apabila beraksi dengan begitu agresif.

“Bagi saya para pemain saya telah menunjukkan komitmen yang cukup tinggi bermain dalam keadaan yang begini dimana kita harus fikirkan sama ada adakah ini bagus untuk bola sepak atau adakah ini akan memberi kecederaan kpeada para pemain,” katanya.

Sabah FC kini berada ditangga kedua dengan mengutip sembilan mata dan akan bertemu Sri Pahang FC di Stadium Darul Makmur pada 12 Mac ini.- SABAH MEDIA

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *