HomeUtamaKonsep Malaysia Madani perlu difahami, diperjelaskan kepada rakyat - Hajiji

Konsep Malaysia Madani perlu difahami, diperjelaskan kepada rakyat – Hajiji

Read Time:2 Minute, 21 Second

KOTA KINABALU: Konsep Malaysia Madani perlu difahami dan diperjelaskan secara menyeluruh kepada rakyat di negeri ini, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Hajiji diiringi Yang Dipertua USIA Datuk Sapawi Ahmad semasa tiba di Majlis Forum Malaysia Madani: Keharmonian dalam Kepelbagaian di Sabah International Convention Centre (SICC), hari ini.

Katanya, konsep itu perlu diperjelaskan secara holistik dan dikupas secara ilmiah oleh pakar-pakar ilmuan pelbagai bidang dengan mengaitkan ciri kepelbagaian yang sinonim dengan negara kita khususnya di Sabah.

Menurutnya, konsep Malaysia Madani yang diilhamkan oleh Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Anwar Ibrahim telah diangkat sebagai satu paradigma baharu untuk negara mengolah hala tuju dasar dan perlaksanaan strategi, yang merentas semua sektor demi kemajuan, kecemerlangan dan kesejahteraan tanahair tercinta.

“Usaha untuk menghayati konsep ini amatlah penting sebagai landasan asas kepada kita semua untuk sama-sama mencipta lonjakan baharu yang lebih harmoni, sejahtera, adil dan makmur.

Justeru, konsep ini amat bersesuaian dengan suasana dan keperluan di negeri ini yang mempunyai lebih 30 etnik”, katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Forum Malaysia Madani: Keharmonian dalam Kepelbagaian di Sabah International Convention Centre (SICC), hari ini.

Forum itu dianjurkan oleh Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) bersama Pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Tugas-Tugas Khas).

Hajiji berkata, konsep Membangun Malaysia Madani yang terdiri daripada enam tonggak dasar iaitu M (keMampanan), A (kesejAhteraan), D (Daya cipta), A (hormAt), N (keyakiNan) dan I (Ihsan), bertepatan dengan Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang diperkenalkan oleh kerajaan negeri sebaik sahaja beliau menerajui kerajaan pada September 2020.

Beliau turut berasa bangga kerana Sabah adalah negeri yang terawal menganjurkan seminar dan forum berkaitan Malaysia Madani bagi mengupas dan memperjelas gagasan besar yang diperkenalkan oleh PM.

Katanya, bulan lalu Seminar Membangun Malaysia Madani Dari Naratif Lokal di Sabah telah dianjurkan oleh Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) Negeri Sabah, Institut Darul Ehsan (IDE) dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Sabah, di negeri ini.

“Saya percaya akan ada lagi persatuan, NGOs dan pihak Institut Pengajian Tinggi (IPT) Awam dan IPT Swasta termasuk agensi kerajaan, akan menganjurkan seminar, forum dan bengkel yang mengupas lebih lanjut dan mendalami konsep Malaysia Madani demi manfaat ahli-ahli, para pelajar, graduan dan kakitangan kerajaan”, tegasnya.

Hajiji berkata, walaupun USIA adalah sebuah pertubuhan Islam, namun peranan dan tanggungjawabnya dalam membantu usaha kerajaan melaksanakan program yang bermanfaat kepada rakyat tanpa mengira bangsa dan agama, wajar disokong oleh semua pihak.

Beliau berharap USIA terus maju ke hadapan, bukan semata-mata beramal dan berdakwah, tetapi juga bergiat aktif dalam pelbagai bidang, membantu kerajaan dalam mempertahankan keharmonian kaum, kemakmuran negara dan kesejahteraan hidup rakyat.

“Syabas kepada USIA, teruskanlah kerja-kerja perbengkelan seumpama ini yang besar manfaatnya kepada seluruh ahli dan masyarakat setempat”, tambahnya.

Hadir sama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Mohd Arifin Mohd Arif, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Safar Untong dan Yang Dipertua USIA Datuk Sapawi Ahmad.

RELATED ARTICLES
Utama

KPKM komited teroka peluang baharu tingkat penyertaan belia dalam bidang pertanian

Bangunan Kerajaan Sabah Pentadbiran Sabah Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular