Kota Kinabalu : Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) menyatakan penghargaan kepada para penaja yang memberi sumbangan bagi menjayakan pelaksanaan akademi bola sepaknya.
Pengarah akademi SAFA, Azman Mastar, berkata, sokongan dan komitmen beberapa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sangat dihargai kerana ia membantu menjayakan pelaksanaan program pembangunan bola sepak di negeri ini.
Antara penaja itu ialah Sabah Energy Corporation Sdn Bhd, Asian Supply Base Sdn Bhd, Jetama Sdn Bhd dan Sabah Credit Corporation.
“Kita mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada GLC ini kerana membantu memudahkan pelaksanaan Akademi Bola Sepak SAFA ini,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Akademi itu membabitkan pelatih B12, B14 dan B16 disempurnakan pelancarannya oleh Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kerja Raya, Datuk Ir Shahelmy Yahya, Sabtu lalu.
Menurut Azman, SAFA juga mengucapkan penghargaan kepada Timbalan Ketua Menteri itu atas keprihatinan dan kesudian untuk melancarkan akademi tersebut selaku “caretaker” badan bola sepak itu ketika ini.
Azman yang juga Penolong Setiausaha Agung SAFA menambah, program pembangunan bola sepak di negeri ini akan terus dilaksanakan sejajar dengan perancangan yang dibuat sebelum ini.
“Akademi SAFA merupakan sebahagian perancangan jangka masa panjang, selain penganjuran kejohanan-kejohanan tempatan bagi membolehkan bakat-bakat baharu dapat dicungkil dan diketengahkan,” katanya.
Katanya, Sabah perlu melahirkan lebih ramai pemain-pemain berwibawa seperti Datuk James Wong, Datuk Hassan Sani, Matlan Marjan dan yang lain, yang pernah dimiliki pasukan Sabah pada masa lalu.
Justeru, sebagai penghargaan kepada ketiga-tiga legenda itu, SAFA telah menamakan James sebagai ikon B16, Hassan (B14) dan Matlan (B12) Akademi Bola Sepak SAFA, jelas Azman.
Pengarah akademi itu juga berkata bahawa akademi itu akan diperluaskan ke lapan zon SAFA yang membabitkan 32 daerah.
“Kita berharap semua zon dan daerah memberi kerjasama sepenuhnya bagi memudahkan pewujudan akademi berkenaan di zon masing-masing,” katanya. – SABAH MEDIA