HomeLuar negaraWashington dakwa dron AS terhempas dilanggar jet pejuang Russia

Washington dakwa dron AS terhempas dilanggar jet pejuang Russia

Read Time:2 Minute, 32 Second

KYIV: Washington mendakwa sebuah jet pejuang Russia melanggar kipas sebuah dron pengawasan Amerika Syarikat (AS) di Laut Hitam, semalam, dalam tindakan yang disifatkan sebagai ‘pelanggaran undang-undang antarabangsa tanpa malu’.

Bagaimanapun, Moscow menegaskan pesawat perangnya tidak melanggar MQ-9 Reaper, sebaliknya mendakwa dron itu melakukan pergerakan mendadak dan terhempas ke laut selepas bertembung dengan jet pejuang Russia yang berusaha untuk memintasnya berhampiran Crimea.

Insiden itu yang meningkatkan ketegangan Russia-AS berhubung konflik peperangan antara Moscow dengan Ukraine, dilihat sebagai yang pertama berlaku sejak kemuncak Perang Dingin.

Presiden AS, Joe Biden, telah diberi taklimat mengenai kejadian itu oleh Penasihat Keselamatan Kebangsaan, Jake Sullivan, menurut jurucakap keselamatan nasional Rumah Putih, John Kirby.

Beliau memaklumkan, pegawai Jabatan Negara AS juga akan bercakap secara langsung dengan rakan sejawat mereka di Russia dan ‘menyatakan kebimbangan Washington terhadap pemintasan secara tidak selamat serta tidak profesional itu.’

Jurucakap Jabatan Negara AS, Ned Price, menyifatkan tindakan Russia itu sebagai ‘pelanggaran undang-undang antarabangsa tanpa malu.’

Price berkata, AS sudah memanggil Duta Russia untuk menyatakan bantahan, malah Duta AS ke Russia, Lynne Tracy turut membuat representasi sama di Moscow.

Komander Eropah AS mendakwa dua jet pejuang Su-27 memintas dron terbabit ketika ia beroperasi dalam ruang udara antarabangsa, dan sebuah daripada pesawat perang Russia itu melanggar kipas MQ-9, menyebabkan AS terpaksa menurunkannya di perairan antarabangsa.

“Sebelum itu, jet pejuang Su-27 berkenaan mencurahkan bahan api ke atas MQ-9 serta terbang di hadapannya beberapa kali secara melulu dan tidak profesional. Insiden ini menunjukkan kurangnya kompeten, selain tidak selamat dan tidak profesional,” dakwanya dalam satu kenyataan dari Stuttgart, Jerman.

Jeneral Tentera Udara AS, James B Hecker yang juga komander Tentera Udara Eropah AS dan Tentera Udara Afrika AS, mendakwa MQ-9 sedang menjalankan operasi rutin dalam ruang udara antarabangsa ketika ia dipintas serta dilanggar pesawat Russia, menyebabkan MQ-9 terhempas dan musnah sepenuhnya.

Jurucakap Pentagon bagi Tentera Udara, Brigedier Jeneral Pat Ryder, berkata kejadian itu berlaku pada jam 7.03 pagi waktu Eropah Tengah di perairan antarabangsa selepas jet Russia berkenaan terbang di sekitar dron itu selama 30 hingga 40 minit.

Ryder berkata, dilihat tiada sebarang komunikasi antara pesawat terbabit sebelum perlanggaran itu.

MQ-9 meliputi sebuah stesen kawalan darat serta peralatan satelit dengan sayap 20 meter, dan mampu membawa senjata, namun Ryder tidak menyatakan sama ada dron itu dilengkapi senjata.

Menurut Tentera Udara AS-Eropah dalam satu kenyataan, AS tidak menemukan dron yang terhempas itu, manakala Ryder memaklumkan, begitu juga dengan pihak Russia.

Beliau berkata, pesawat Russia dilihat turut mengalami kerosakan akibat perlanggaran itu tetapi AS mengesahkan ia berjaya mendarat, namun Ryder tidak menyatakan lokasinya.

Sementara itu, Kementerian Pertahanan Russia pula mendakwa dron AS berkenaan terbang di atas Laut Hitam berhampiran Crimea dan mencerobohi kawasan yang diisytiharkan sebagai ‘larangan’ oleh Russia dalam ‘operasi ketenteraan khas’ di Ukraine, menyebabkan tenteranya bertindak memintas dron terbabit.

“Akibat pergerakan mendadak, dron MQ-9 terbang tanpa panduan dan hilang altitud lalu terhempas ke laut. Jet pejuang Russia tiada menggunakan senjata dan tidak bersentuhan langsung dengan kenderaan udara tanpa pemandu itu, dan mereka selamat pulang ke pangkalan,” katanya. – AP

RELATED ARTICLES
Luar negaraSukan

Klopp Berang Dengan Wartawan ?

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya