HomeIsu tempatanMBJ KKTP mantapkan fungsi kongsi ilmu

MBJ KKTP mantapkan fungsi kongsi ilmu

Read Time:1 Minute, 52 Second

Kota Kinabalu : Ke arah memantapkan fungsi Majlis Bersama Jabatan (MBJ), Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) berkongsi ilmu dengan MBJ Istana Seri Kinabalu.

Setiausaha Tetap (SUT), Datuk Dr Jamili Nais berkata, menerusi perkongsian tersebut, pihaknya akan memanfaatkan idea serta pendekatan untuk memastikan kebajikan pihak pekerja terbela, di samping mengekalkan silaturahim di antara kedua-dua pihak.

“MBJ merupakan saluran komunikasi dua hala di antara majikan dan pekerja untuk memperbaiki bukan sahaja hubungan dua hala, tetapi juga suasana kerja supaya pada akhirnya matlamat dan visi kementerian dapat dicapai.

“Ini bermaksud MBJ dapat mensejahterakan hubungan dalam organisasi dan untuk itu kita kena sediakan suasana kondusif kepada para kakitangan untuk melaksanakan tugasan masing-masing.

“Melalui lawatan ini, banyak idea, pengalaman serta pendekatan bagi mengambil tahu mengenai kebajikan kakitangan yang dikongsikan oleh MBJ Istana Seri Kinabalu untuk kami jadikan panduan dalam usaha memantapkan lagi pengurusan MBJ KKTP.

“Selain itu, kunjungan ini juga bertujuan mengeratkan lagi silaturahim dan memberi peluang serta pengalaman kepada MBJ KKTP yang pertama kali mengunjungi istana,” katanya kepada media ketika mengetuai rombongan MBJ KKTP yang mengadakan kunjungan serta lawatan sambil belajar ke Istana Seri Kinabalu.

Dalam lawatan itu, Jamili bersama Timbalan SUT I, Stanley Chong Hon Chung dan SUT II, Faridah Giau pada Selasa, turut dibawa melawat ke Dewan Istiadat, Dewan Kunjungan dan Dewan Seri Kinabalu sambil diberi taklimat mengenai protokol dan tatacara semasa menghadiri acara-acara rasmi di istana berkenaan oleh Setiausaha Sulit Kepada Tuan Yang Terutama (TYT), Datuk Abinan Asli yang juga Pengerusi MBJ (Pengurusan) Istana Seri Kinabalu.

Hadir mengiringi rombongan, Timbalan Setiausaha Sulit Kepada TYT, Ag Damit Pg Apong, Setiausaha Perhubungan Kepada TYT, Datuk Mohd Rashid Mohd Tahir, Juruiring TYT, Kolonel Herman Bombang serta Pengerusi MBJ (Pekerja) Istana Seri Kinabalu, Norizam Noorhisyam.

Sementara itu, semasa majlis santapan tengah hari yang disertai Isteri Yang di-Pertua Negeri, Toh Puan Norlidah R.M Jasni, Jamili dalam ucapannya merakamkan ucapan terima kasih dan terharu dengan sambutan yang diterima pihaknya.

“Menjunjung kasih kepada Yang Amat Berbahagia Toh Puan serta terima kasih kepada pengurusan Istana Seri Kinabalu.

“Sesungguhnya, kami amat terharu dengan sambutan dan ini adalah pengalaman yang sangat berharga untuk para pegawai dan kakitangan MBJ KKTP,” ujar beliau.

Mengakhiri lawatan terbabit, Jamili menyampaikan cenderamata serta sesi bergambar kenangan bersama Toh Puan Norlidah dan warga MBJ KKTP.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

80 peserta sertai Program Renjer Muda TTS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya