HomeUtamaMRS terima royalti RM84,220 lagu-lagu tempatan sepanjang Pesta Kaamatan

MRS terima royalti RM84,220 lagu-lagu tempatan sepanjang Pesta Kaamatan

Read Time:1 Minute, 45 Second

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini

Kota Kinabalu : Music Rights Sabah (MRS) Berhad bakal menerima pembayaran royalti sebanyak RM84,220 bagi penggunaan lagu-lagu tempatan negeri ini sepanjang perayaan Pesta Kaamatan 2023.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan berkata, jumlah itu adalah berdasarkan jumlah invois yang dicadangkan MRS kepada pihak penganjur Pesta Kaamatan pada tahun ini.

Katanya, inisiatif itu adalah bertujuan untuk membantu para penggiat seni tempatan Sabah dari segi mendapatkan hak royalty karya mereka.

“Jawatankuasa Penganjur Pesta Kaamatan sangat prihatin terhadap nasib dan hak penggiat seni tempatan Sabah yang selama ini tidak terbela selama lebih 30 tahun.

“Oleh itu, kita (penganjur) bersetuju untuk membayar royalty sebanyak RM84,220 bagi penggunaan lagu-lagu tempatan sepanjang perayaan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat MRS Berhad di pejabatnya di sini semalam.

Kunjungan MRS itu adalah bertujuan untuk menyampaikan taklimat berkenaan pelesenan dan penggunaan lagu etnik tempatan yang terletak di bawah mandat MRS sepanjang penganjuran Pesta Kaamatan di 34 buah daerah seluruh Sabah termasuk tujuh cawangan KDCA seluruh negara.

Ia juga termasuklah penggunaan bagi acara-acara yang berlangsung di Dewan Hongkod Koisaan Penampang bermula pada pertengahan Mei depan.

Sementara itu Pengarah Urusan MRS Asmin Mudin berkata, pihaknya merakamkan penghargaan terima kasih kepada Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Penganjur Pesta Kaamatan Negeri Sabah 2023 kerana memperhalusi dan menyokong penuh usaha MRS.

“Walaupun perkara ini masih terlalu baharu buat kita semua di Sabah, tetapi dengan persetujuan yang dicapai hari ini, bolehlah dianggap sebagai perintis kepada pembangunan industri muzik negeri Sabah.

“Menerusi pelesenan ini peserta Sugandoi, artis jemputan dan penganjur Pesta Kaamatan di daerah terlibat boleh menggunakan lagu etnik tempatan di bawah mandat MRS tanpa rasa ragu-ragu, di pelbagai acara seperti Unduk Ngadau, Sugandoi, Konsert Kaamatan atau karaoke terbuka di gerai-gerai Kaamatan nanti.

“Bagaimanapun, pelesenan ini tidak terpakai kepada penganjuran acara Pesta Kaamatan selain anjuran kerajaan negeri dan KDCA,” katanya.

Tambahnya, MRS turut menghargai peranan Jawatankuasa Pesta Kaamatan Negeri Sabah 2023 yang dianggap sebagai contoh dan tauladan kepada penganjur-penganjur acara yang lain dari segi nilai moral dan kebertanggungjawaban dalam menjaga hak penggiat seni tempatan. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Bekas wartawan penderma organ pertama di Sabah tahun ini

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya