Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Kota Kinabalu: Para pengguna diingatkan agar lebih bijak dalam berbelanja ketika membeli juadah berbuka di bazar Ramadan yang akan bermula pada minggu depan.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, pengguna juga diingatkan agar sentiasa menjaga kesihatan dan keselamatan ketika berkunjung di bazar Ramadan yang disediakan pihak berkuasa tempatan.
“Sempena ketibaan bulan Ramadan yang menjelang tiba minggu depan, pertama sekali saya ingin menyeru kepada masyarakat terutama umat Islam untuk dapat menunaikan ibadah puasa dengan baik dan selesa.
“Selain pengguna perlu bijak berbelanja di bazar Ramadan, para peniaga juga diingatkan agar menjual barangan dengan harga berpatutuan selain memastikan kualiti juadah atau jualan mereka sentiasa berada dalam baik dan berkualiti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan Program Jelajah Ramadan RTM 1444h/2023M di sini, hari ini.
Pada majlis itu, Jabatan Penyiaran Malaysia Sabah terus menyantuni golongan yang memerlukan menerusi Program Jelajah Ramadan RTM.
Shahelmey berkata, tidak sekadar menumpukan perkhidmatan selaku agensi penyiaran negara, RTM juga sentiasa berusaha dalam menunaikan tanggungjawab sosial korporat terhadap masyarakat.
“Kerajaan negeri amat menghargai kesungguhan RTM yang sentiasa komited dan istiqomah dalam menunaikan tanggungjawab sosial korporat terhadap masyarakat menerusi pelbagai pendekatan.
“Keprihatinan serta komitmen seumpama ini seharusnya dicontohi oleh jabatan dan agensi lain dan ia wajar diteruskan selaras Hala Tuju Sabah Maju Jaya dan Malaysia Madani.
“Semoga jelajah ini dapat memperluaskan sasaran masyarakat dan lokasi tumpuan jelajah pada masa akan datang serta mendapat lebih banyak kerjasama strategik daripada pelbagai pihak,” katanya.