PETRONAS lancar pemasangan sistem tenaga solar di tiga kampung di Banggi

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:3 Minute, 6 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KUDAT: PETRONAS, melalui anak syarikatnya PETRONAS Floating LNG (PFLNG), akan memasang sistem tenaga solar di tiga buah kampung di Pulau Banggi menerusi Program PETRONAS Uplifting Lives (Memacu Kehidupan) sebagai sebahagian daripada program impak sosialnya di Sabah.

Majlis perasmian program tersebut dilancarkan oleh Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Dato’ Sri Dr Ruddy Awah, di Pulau Banggi hari ini.

Ruddy menandatangani plak di Surau Kg Dogoton sambil diperhatikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif PFLNG, Azrul Roshazli Ab Rahman (dua kiri) semasa Majlis Perasmian Program PETRONAS Uplifting Lives (Memacu Kehidupan) di Pulau Banggi hari ini.

Ruddy berkata, program yang dijalankan dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah itu akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat bermula dengan pemasangan sistem itu di tiga buah surau iaitu di Kampung Rahmat, Kampung Semayan dan Kampung Dogoton yang telah pun siap bulan lepas.

“Ini diikuti dengan pemasangan sistem itu di sebanyak 140 rumah penduduk di ketiga-tiga kampung berkenaan, yang dijangka siap menjelang September tahun ini, dan akan menyediakan tenaga solar percuma kepada lebih 700 penduduk,” katanya kepada media selepas melancarkan program itu.

Menurut Ruddy, pemasangan sistem tenaga suria oleh PETRONAS ini merupakan inisiatif yang amat dialu-alukan yang pastinya akan membawa manfaat besar dalam meningkatkan kualiti kehidupan penduduk di ketiga-tiga kampung itu.

“Menerusi program ini, penduduk berkenaan akan mendapat akses kepada tenaga solar dan percuma untuk kegunaan seharian mereka dan membantu meminimumkan perbelanjaan mereka,” katanya.

Rudy turut berkata, pihak PETRONAS begitu komited dan prihatin dalam membantu meringankan beban rakyat Sabah yang kurang berkemampuan.

“Saya turut dimaklumkan, prototaip sistem solar ini merupakan hasil usaha , cetusan idea dan kreativiti jurutera-jurutera daripada PETRONAS Floating LNG yang begitu berbakat dan komited dalam usaha membantu rakyat Sabah khususnya,” jelasnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PFLNG, Azrul Roshazli Ab Rahman dalam ucapannya berkata, walaupun pihaknya memainkan peranan aktif dalam memperkasakan perniagaan dengan tenaga karbon rendah, namun usaha ini juga harus diterapkan di peringkat komuniti.

“Dengan pemasangan system tenaga solar ini, komuniti penerima akan dapat menjimatkan perbelanjaan mereka untuk mendapatkan bekalan tenaga. Penjimatan itu kemudiannya boleh digunakan untuk keperluan lain.

“Sebagai warga korporat yang bertanggungjawab dan rakan kongsi penyelesaian tenaga bersih yang progresif, PETRONAS kekal komited untuk memacu kehidupan masyarakat dalam hal ini, melalui penyediaan akses terhadap tenaga boleh diperbaharui,” katanya.

Menurut Azrul lagi, penggunaan sistem tenaga solar adalah sebahagian daripada perjalanan keseluruhan PETRONAS ke arah mencapai sasarannya untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang tahun 2050.

Dalam pada itu, Ketua PETRONAS Sabah dan Labuan, Siti Ayu Abdul Wahab berkata, dengan adanya pemasangan sistem tenaga solar ini, penduduk kampung akan menikmati sekurang-kurangnya enam jam kuasa elektrik di rumah mereka.

Ditanya mengenai perancangan mengadakan program sedemikian khususnya kawasan luar bandar lain, Siti berkata, pihaknya bersama KPLB akan bincangkan perkara itu kemudian.

“Kami bekerjasama dengan KPLB jadi perkara ini akan dibincangkan, kita lihat macam mana, fokus utama sekarang ialah tiga kampung ini fasa pertama sebagai pilot projek,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran program.

Hadir sama pada majlis itu ialah pegawai dan kakitangan kementerian serta wakil penduduk daripada ketiga-tiga kampung berkenaan.

Pada majlis sama, penduduk-penduduk yang menerima sistem tenaga solar itu meluahkan rasa gembira dan berterima kasih dengan pihak PETRONAS dan kerajaan khususnya Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah atas bantuan tersebut bagi memacu kehidupan mereka dengan lebih baik.

Penerima Abdul Jim Buldani, 47, penduduk dari Kg Dogoton berkata, beliau turut meluahkan rasa gembira dengan adanya sistem tenaga solar yang akan dipasang di rumahnya nanti.

“Alhamdulillah, saya gembira, saya ada anak-anak yang masih bersekolah, dengan adanya tenaga solar ini nanti, anak-anak saya boleh belajar dengan cahaya lampu lebih masa pada waktu malam berbanding sebelum ini hanya menggunakan generator yang terhad kepada satu jam sahaja.

“Lagipun ia sangat jimat dari segi perbelanjaan kerana hanya menggunakan tenaga suria,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *