Kumpulan Pecah Kedai Pameran Kenderaan tumpas

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:3 Minute, 16 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Pasukan Polis Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kota Kinabalu telah berjaya menumpaskan Kumpulan Pecah Kedai Pameran Kenderaan berjenama luar negara di Daerah Kota Kinabalu dengan tertangkapnya dua orang suspek lelaki dengan anggaran jumlah kerugian RM350,000.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Mohd Zaidi Abdullah berkata, kejadian itu dilaporkan oleh penolong pengurus kedai tersebut pada 8 Mac lalu jam lebih kurang 7.30 pagi menyatakan berkenaan kehilangan dua buah kenderaan pacuan empat roda jenis Nissan Navara dimana cermin kedai pameran kenderaan telah dipecahkan oleh suspek dan jumlah kerugian dianggarkan lebih kurang RM 350.000.00.

Tiga buah kenderan pacuan empat roda jenis Nissan Navara yang dirampas daripada tiga suspek yang ditahan.
Mohd Zaidi (tengah) bersama pengawai menunjukkan barang-barang rampasan dari suspek.

Katanya, hasil siasatan pihak polis mendapati, kumpulan ini menggunakan modus operandi dengan memecahkan cermin kedai untuk masuk ke dalam kedai seterusnya mengambil kunci kenderaan yang berada dalam kedai pameran dan keluar mengikut laluan yang sama lalu melarikan kenderaan yang diletakkan di luar kedai yang tidak berpagar.

“Kenderaan yang dicuri adalah untuk tujuan dijual bagi mendapatkan wang,” katanya pada sidang media di IPD Kota Kinabalu, hari ini.

Menurut Mohd Zaidi, hasil siasatan dan risikan berterusan yang dibuat telah berjaya membuat tangkapan terhadap saspek utama di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) ketika kedua-dua suspek tiba di pintu ketibaan selepas menaiki penerbangan dari Semenanjung Malaysia.

“Polis turut menemui barang-barang hasil pecah rumah yang telah dilakukan semasa tangkapan suspek. Dengan tertangkapnya dua suspek ini telah berjaya menyelesaikan kes pecah Kedai Pameran Kenderaan yang disusuli dengan penemuan semula dua kenderaan yang telah dilaporkan hilang.

“Kedua-dua suspek yang juga warga tempatan berumur 36 dan 39 tahun itu telah membawa kepada penemuan semula satu buah kenderaan yang ditinggalkan kawasan terbuka tempat letak kereta Blok K. Taman Fajar, Kampung Darau, Menggatal, Kota Kinabalu dan seterusnya sebuah kenderaan lagi di kompaun rumah perumahan Taman Nelly, Kelombong, Inanam.

“Polis juga telah berjaya membuat tangkapan terhadap seorang lelaki cina yang telah membeli kenderaan curi,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Zaidi berkata, hasil pemeriksaan kenderaan mendapati, lelaki cina terbabit turut menggunakan nombor pendaftaran palsu dan menukar rim serta tayar ke kenderaan lain yang ada di dalam halaman rumah bagi menggelakkan kenderaan terbabit ditemui.

Menurutnya, kenderaan yang dicuri itu telah dijual dengan harga RM10,000.
Siasatan lanjut yang dijalankan ke atas dua suspek, telah mengaku terlibat dalam beberapa kes pecah rumah di Sabah yang melibatkan satu kes di daerah Kota Kinabalu, dua kes di daerah Keningau dan Semenanjung Malaysia melibatkan tiga kes di Selangor dan satu kes di Perak.

Katanya, hasil pendedahan kedua-dua suspek juga telah berjaya membuat rampasan barang kes melibatkan tiga buah kenderaan pacuan empat roda yang terlibat didalam kejadian. Turut dirampas 11 buah telefon bimbit pelbagai jenis, 10 utas jam tangan pelbagai jenama, sebuah komputer riba, wang tunai dan lain- lain barang yang dipercayai hasil kegiatan jenayah pecah rumah yang dilakukan oleh suspek di Sabah dan Semenanjung Malaysia.

“Kedua-dua suspek masing-masing mempunyai 18 dan 19 rekod jenayah lampau serta penglibatan dalam beberapa kes Penyalahgunaan Dadah dan tersenarai dalam Orang Dikehendaki oleh pihak Polis (Wanted Person). Hasil ujian saringan awal air kencing terhadap kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine. Kes telah disiasat di bawah Seksyen 457/379A Kanun Keseksaan.

Suspek yang masih diburu terlibat dalam kes Pecah Kedai Pameran Kenderaan di Kota Kinabalu baru-baru ini.

“Pihak polis juga kini giat memburu seorang lagi suspek lelaki berumur 37 tahun yang memandu kenderaan jenis Perodua Myvi bersama-sama kedua-dua suspek semasa kejadian pecah kedai pameran kenderaan tersebut,” katanya.

Sehubungan dengan itu, Mohd Zaidi menyarankan kepada pemilik premis-premis perniagaan agar memasang alat kamera litar tertutup (CCTV) di dalam dan diluar premis masing-masing bagi tujuan keselamatan yang mana turut membantu untuk merekodkan kejadian jenayah yang berlaku sekaligus memudahkan pihak polis untuk mengenalpasti penjenayah yang terlibat.

“Pemasangan alat sistem penggera (alarm) juga amat digalakkan bagi tujuan mencegah kejadian jenayah dari berlaku,” tegasnya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *