HomeUtamaTekun Nasional lancar skim pembiayaan baharu, khusus untuk peniaga pasar tamu Sabah,...

Tekun Nasional lancar skim pembiayaan baharu, khusus untuk peniaga pasar tamu Sabah, Sarawak

Read Time:2 Minute, 49 Second

Kota Belud : TEKUN Nasional melancarkan skim pembiayaan khusus untuk usahawan yang berniaga di Pasar Tamu khususnya di Sabah dan Sarawak.

Menteri Pembangunan, Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, skim pembiayaan itu dikenali sebagai Skim Pembiayaan Usahawan Tamu (SPUT) yang diwujudkan khas bagi membantu usahawan informal dan mikro di Borneo khususnya Sabah dan Sarawak yang berniaga di Pasar Tamu.

“Saya telah meminta TEKUN Nasional mempertimbangkan untuk menyediakan skim pembiayaan yang mudah dan khusus kepada usahawan yang berniaga di Pasar Tamu ini.

“Had maksimum pembiayaan bagi skim ini sehingga RM5,000 dan tempoh bayaran balik sehingga 12 bulan. Pembiayaan ini adalah secara berkumpulan yang terdiri daripada lima usahawan.

“Usahawan di bawah SPUT juga akan dilindungi Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri PERKESO sebagai perlindungan insurans kepada individu yang menjalankan pekerjaan sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Skim Pembiayaan Usahawan Tamu (SPUT), di Dewan Kadamaian Square, di sini, hari ini.

Ewon berharap,dengan pelaksanaan SPUT akan dapat membantu usahawan kecil yang menjalankan perniagaan di Pasar Tamu untuk memajukan lagi perniagaan sekaligus meningkatkan taraf ekonomi mereka.

“Dengan adanya skim ini, saya berharap perniagaan di Pasar Tamu akan terus kekal dan terpelihara oleh masyarakat Sabah dan Sarawak sebagai satu jenis perniagaan yang ditambah nilai dengan aktiviti pelancongan,” katanya.

Beliau berkata, sejak ditubuhkan pada 1998 sehingga Februari tahun ini, TEKUN Nasional telah menyalurkan pembiayaan berjumlah RM8.17 bilion kepada 548,473 usahawan melalui 170 cawangannya di seluruh negara.

“Bagi Sabah, TEKUN Nasional telah menyalurkan pembiayaan sebanyak RM845 juta kepada 59,096 usahawan dalam tempoh yang sama iaitu ketiga tertinggi selepas Selangor dengan nilai pembiayaan RM1.1 bilion kepada 72,834 orang usahawan,” katanya.

Beliau berkata, selain pembiayaan kepada usahawan informal dan mikro, Tekun juga turut menyediakan pembiayaan jangka pendek enam bulan kepada usahawan kontraktor Bumiputera.

“Sejak diwujudkan pada tahun 2015 sehingga kini, TEKUN telah menyalurkan RM1.2 bilion kepada 11,761 orang usahawan kontraktor Bumiputera di seluruh negara.

“Di Sabah, seramai 2,555 orang usahawan kontraktor Bumiputera mendapat pembiayaan berjumlah RM265 juta bagi tempoh yang sama. Sabah merupakan negeri yang tertinggi menyalurkan pembiayaan TEKUN kepada usahawan kontraktor,” katanya.

Ewon berkata, oleh kerana sambutan amat menggalakkan, KUSKOP melalui TEKUN Nasional telah menaikkan had pembiayaan maksimum Skim Pembiayaan Kontrak-i sehingga RM200,000 mulai Januari tahun ini.

“Peningkatan had maksimum pembiayaan ini dilaksanakan setelah mengambilkira maklumbalas serta had nilai perolehan kerja bagi kontraktor G1 yang bernilai RM200,000 dan ke bawah,” katanya.

Katanya lagi, pada tahun ini TEKUN telah memperuntukkan RM200 juta dengan sasaran lebih 3,100 usahawan dijangka menerima manfaat ini.

Ewon berkata, KUSKOP juga telah mengambil inisiatif mewujudkan program groombig bertujuan membantu usahawan di bawah agensinya mendapatkan pembiayaan yang lebih besar, latihan dan pembangunan kapasiti serta pembangunan produk usahawan yang disediakan oleh agensi lain di bawah KUSKOP.

“Contohnya usahawan TEKUN yang berkelayakan dan mempunyai rekod bayaran balik yang baik akan disokong oleh TEKUN untuk mendapatkan pembiayaan melebihi RM100,000 daripada agensi lain di bawah KUSKOP,” katanya.

Beliau berkata, sehingga kini di bawah Progam Groombig seramai 113 usahawan TEKUN mendapat pembiayaan daripada PUNB, Bank Rakyat dan SME Bank berjumlah RM17 juta.

Katanya, daripada jumlah itu 23 usahawan TEKUN mendapat pembiayaan daripada PUNB berjumlah RM5.5 juta, 63 orang daripada Bank Rakyat berjumlah RM3.03 juta dan 27 orang mendapat pembiayaan daripada SME Bank berjumlah RM8.5 juta.

“TEKUN juga turut memberi pembiayaan kepada 28 usahawan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) yang layak dengan nilai pembiayaan RM926,000,” katanya. – SABAH MEDIA.

RELATED ARTICLES
Utama

Juliah santuni anak-anak istimewa PPDK Tuaran

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya