Pengadil aksi Sabah FC, Penang FC digantung tugas

0
1
test2
Read Time:1 Minute, 14 Second

Kuala Lumpur : Pengadil perlawanan Liga Super di antara Sabah FC menentang Penang FC di Stadium Likas, Kota Kinabalu pada Jumaat lalu dikenakan tindakan penggantungan serta-merta daripada mengadili sebarang perlawanan Liga Malaysia 2023.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Noor Azman Rahman berkata, pengadil tersebut didapati terkhilaf dalam mengintepretasi dua situasi pemberian sepakan penalti kepada pasukan Sabah FC pada minit 41 dan minit 90+9.

Katanya, Jawatankuasa Penilaian Prestasi Pengadil FAM yang diketuai Timbalan Presiden FAM, Dato’ S. Sivasundaram selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM telah bersidang semalam bagi meneliti laporan daripada Penilai Pengadil perlawanan tersebut serta klip-klip rakaman video setiap insiden berkenaan.

“Jawatankuasa Penilaian Prestasi Pengadil FAM telah sebulat suara mendapati bahawa pengadil perlawanan tersebut, Zulkarnain Zakaria telah terkhilaf dalam mengintepretasi dua situasi pemberian sepakan penalti olehnya kepada pasukan Sabah FC pada minit 41 dan minit 90+9.

“Sehubungan itu, Jawatankuasa Pengadil FAM telah membuat keputusan untuk mengenakan hukuman penggantungan secara serta-merta kepada Zulkarnain Zakaria daripada mengadili sebarang perlawanan Liga Malaysia 2023,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Noor Azman berkata, Jawatankuasa Pengadil FAM memandangkan serius perkara tersebut.

Katanya, pihaknya juga akan memberikan peringatan dan teguran keras kepada semua pengadil agar sentiasa optimum dalam menjalankan tugas dengan pemahaman bola sepak secara lebih holistik.

“Jawatankuasa juga tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan keras dan yang sewajarnya kepada mana-mana pengadil yang menampilkan mutu pengadilan yang tidak memenuhi piawaian yang telah ditetapkan pada perlawanan-perlawanan Liga Malaysia 2023 yang akan datang,” katanya. – SABAH MEDIA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here