HomeUtamaKTYS, LPPKN anjur Kempen WCaRe, beri kesedaran pengesanan awal kanser reproduktif di...

KTYS, LPPKN anjur Kempen WCaRe, beri kesedaran pengesanan awal kanser reproduktif di kalangan wanita

Read Time:2 Minute, 22 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS) dengan kerjasama Lembaga Penduduk Dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) mengadakan Kempen Kesedaran Kanser Reproduktif Wanita (WCaRe) berlangsung pada 20 hingga 21 Mac 2023 di ruang legar KTYS, Kampus Sembulan dekat sini.

Program yang dijalankan selama dua hari itu bermula pada jam 9 pagi hingga 4.30 petang.

Kakitangan dan pelajar KTYS mengambil peluang untuk membuat saringan kesihatan semasa program Kempen Kesedaran Kanser Reproduktif Wanita (WCaRe) oleh LPPKN bermula hari ini.

Menurut jurucakap Doktor Perubatan LPPKN Dr Halimatul Saadiah Mohd Aris, penganjuran kempen ini adalah untuk memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai kanser reproduktif dalam kalangan wanita.

Katanya, KTYS adalah Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang pertama LPPKN bekerjasama mengadakan kempen seumpama ini sejak program itu diperkenalkan di Sabah.

“Kami terdiri daripada lima orang kakitangan dari LPPKN hadir untuk melaksanakan kempen Kesedaran Kanser Reproduktif Wanita, di sini (KTYS), Kampus Sembulan di mana kita ada menawarkan dua program bersubsidi iaitu Ujian Mamogram (kanser payu dara) dan HPV DNA (kanser serviks).

“Sepanjang program ini, kita ada membuat pendaftaran subsidi penuh untuk pendapatan isi rumah di bawah RM10,000, mereka boleh daftar hari ini dan dapatkan temujanji di Gleneagles Hospital atau Jeselton Medical Center (JMC) untuk kawasan Kota Kinabalu dan mereka boleh terus membuat pemeriksaan serta mendapat keputusan laporan kesihatan pada hari yang sama.

“Sekiranya mereka mempunyai masalah kesihatan, semua rujukan dan pemeriksaan akan dilakukan oleh saya dan jika perlu pemeriksaan pakar saya akan rujuk kepada hospital Queen Elizabeth,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Menurut Dr Halimatul, sekiranya pendapatan isi rumah lebih dari RM10,000 mereka juga akan berpeluang mendapat subsidi dalam kadar jumlah RM50 daripada harga sebenar contohnya melakukan ujian Mamogram, ditolak dengan jumlah RM50 jadi mereka hanya perlu membayar RM200 sahaja.

Petugas Perubatan LPPKN sedang membuat pemeriksaan kepada salah seorang kakitangan KTYS di dalam sebuah bas yang diubahsuai sebagai Klinik Bergerak LPPKN.

Sehubungan itu, beliau menyeru kepada semua golongan wanita untuk mengambil peluang ini untuk menjalani saringan Mamogram dan HPV DNA bagi pengesanan awal kanser.

“Ini adalah sebagai usaha untuk menggalakkan wanita khususnya di seluruh Sabah untuk menjalani ujian pengesanan awal kanser payu dara dan kanser serviks,” ujarnya.

WCare merupakan inisatif untuk mempromosikan Program Subsidi Ujian Mamogram dan Program Saringan Kanser Serviks (Ujian HPV DNA) kepada wanita seluruh negara.

Sementara itu, menurut Pengurus Komunikasi Korporat KTYS, Ellen Sikodol, pihak KTYS amat mengalu-alukan program-program kempen kesedaran yang diadakan di KTYS dengan kerjasama dari semua pihak yang berminat.

“Kami dari pihak KTYS berterima kasih kepada pihak LPPKN yang sudi bersama-sama menganjurkan sekaligus menjayakan program selama dua hari dan sangat bermanfaat kepada semua kakitangan dan pelajar-pelajar kami di kolej ini.

“Justeru, kami juga turut mengalu-alukan sama ada dari pihak kerajaan, swasta ataupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berminat untuk bersama-sama KTYS dalam menganjurkan program-program kempen kesedaran lain,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

DUN Sabah : 12 elemen penting diberi tumpuan tingkat potensi belia...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya