KUSKOP bentuk struktur tadbir urus pastikan pembangunan keusahawanan negara berjalan lancar

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 56 Second

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini

Kuala Lumpur : Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) telah membentuk struktur tadbir urus di peringkat persekutuan dan negeri bagi memastikan pembangunan dan penyelarasan inisiatif keusahawanan berjalan lancar dan tidak berlaku pertindihan.

Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata, KUSKOP adalah penyelaras utama pelaksanaan inisiatif keusahawanan pelbagai kementerian dan agensi termasuk pelaksanaan di peringkat negeri.

“Di peringkat Persekutuan, Majlis Pembangunan Usahawan dan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) Kebangsaan (MPUPK) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri, merupakan badan tertinggi.

“Ia berperanan menetapkan hala tuju serta dasar pembangunan usahawan dan PMKS secara menyeluruh merentasi semua sektor ekonomi.

“Manakala, di peringkat Negeri pula, Majlis Pembangunan Keusahawanan Nasional (MPKN) yang dipengerusikan oleh Menteri KUSKOP ditubuhkan bagi menyelaras dasar dan hala tuju pembangunan keusahawanan di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri serta mengkoordinasikan pelaksanaan inisiatif keusahawanan supaya lebih terancang dan strategik.

“Pelaksanaan fungsi MPUPK dan MPKN dibantu oleh beberapa Jawatankuasa Kerja iaitu Pasukan Petugas Peringkat Tertinggi PMKS (HLTF) dan Jawatankuasa Teknikal Pembangunan Keusahawanan Nasional (JTPKN) yang masing-masing diketuai oleh Ketua Setiausaha Negara dan Ketua Setiausaha KUSKOP,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Riduan Rubin (Tenom) pada persidangan Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Riduan bertanya peranan KUSKOP dalam menyelaras pelaksanaan program pembangunan keusahawanan dan PMKS oleh kementerian dan agensi lain terutamanya bagi mengelak pertindihan bantuan dan program.

Ewon berkata, dalam usaha KUSKOP memastikan isu pelaksanaan dan keperluan usahawan, koperasi, penjaja dan peniaga kecil ditangani secara bersasar dan tuntas, satu jawatankuasa khas iaitu Majlis Pembangunan Usahawan, Koperasi, Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Daerah yang akan dipengerusikan oleh Pegawai Daerah dibentuk dan dimulakan secara rintis di Sabah.

“Manakala di Sarawak pula, ia akan dilaksanakan melalui Majlis Pembangunan Usahawan Peringkat Bahagian (MPUB) dan akan diperluaskan di seluruh negara,” katanya.

Selain itu katanya, kementerian menerusi SME Corp. turut menyelaras, memantau serta menilai prestasi dan pencapaian program pembangunan usahawan dan PMKS secara tahunan melalui Pelan Tindakan Bersepadu PKS (SMEIPA).

“Sistem SMEIPA juga dibangunkan bagi memudahkan penyelarasan pelaporan perancangan dan pencapaian program pembangunan PMKS di peringkat persekutuan dan negeri,” katanya.

Ketika menjawab soalan tambahan Riduan yang bertanya mengenai penyelarasan program pembangunan keusahawanan antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Sabah dan Sarawak, Ewon berkata, kementerian telah mengadakan sesi libat urus bersama Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak bagi mempertingkatkan penyelarasan program pembangunan keusahawanan kementerian dengan kerajaan negeri. – SABAH MEDIA

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *