Ahli Majlis Daerah diminta tunjuk komitmen tinggi, sokongan padu dalam majukan daerah

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:3 Minute, 0 Second

KOTA MARUDU: Ahli-ahli Majlis Daerah diminta untuk menunjukkan komitmen yang tinggi dalam apa juga perancangan dan program yang akan dilaksanakan oleh Majlis Daerah, serta memberikan sokongan dan kerjasama padu dalam memajukan daerah masing-masing.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata, Ahli-ahli Majlis hendaklah menanamkan sikap kerja berpasukan, tegas, cekap dan kreatif dalam mencetuskan idea-idea untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan yang lebih berkesan.

“Pelantikan ini adalah merupakan satu amanah dan tanggungjawab yang amat berat dan penting,” katanya ketika berucap semasa merasmikan Majlis Upacara Angkat Sumpah Ahli-ahli Majlis Daerah Kota Marudu (MDKM) bagi Sesi 2023 – 2025 yang diadakan Bilik Gerakan Majlis Daerah Kota Marudu, di sini hari ini.

Upacara tersebut melibatkan seramai 17 orang (sebahagian lantikan baharu dan sebahagian lantikan semula) yang telah dilantik bagi meneruskan khidmat untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada seluruh penduduk Kota Marudu.

Berdasarkan kuasa yang diberi di bawah Seksyen 10 (1) Akta Kerajaan Tempatan 1976, Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah telah melantik Ahli Majlis Daerah Kota Marudu untuk berkhidmat mulai 20 Januari 2023 sehingga 20 Januari 2025.

Dr. Joachim berkata, sebagai Ahli Majlis, sudah tentulah amanah dan tanggungjawab yang ini bukan semata-mata untuk memajukan diri sendiri, malah untuk membantu dan memenuhi kepentingan penduduk Kota Marudu, menyumbangkan idea-idea bernas dan kepakaran kepada MDKM serta memaju dan meningkatkan mutu perkhidmatan majlis.

“Ahli Majlis perlulah menunjukkan komitmen yang tinggi dalam apa juga perancangan dan program yang akan dilaksanakan oleh MDKM dan berikanlah sokongan dan kerjasama yang padu untuk memajukan daerah Kota Marudu agar dapat bersaing seiring dengan daerah-daerah lain.

“Saya berharap, dengan pelantikan ini juga akan memudahkan Majlis Daerah dalam membuat keputusan dengan mengambil kira pandangan wakil masyarakat iaitu ahli-ahli majlis yang dilantik namun demikian, apa juga bentuk keputusan yang diambil hendaklah selaras dengan undang-undang, peraturan-peraturan serta dasar dan polisi yang sedia ada.

“Di samping itu, saya juga mengharapkan kerjasama yang terbaik di kalangan ahli majlis dengan pegawai-pegawai MDKM di dalam melaksanakan tugas-tugas dan tanggungjawab kerana dengan adanya kerjasama ini akan dapat memantapkan lagi perkhidmatan yang akan diberikan kepada penduduk di Kota Marudu,” katanya.

Selain itu, Dr. Joachim juga mengharapkan MDKM boleh menjadi sebuah pihak berkuasa tempatan yang dapat memenuhi kehendak dan ekspektasi masyarakat, sentiasa dapat memberikan perkhidmatan terbaik dan bertekad untuk menjadikan pengurusan dan pentadbiran pada landasan yang tepat dan konsisten agar perkhidmatan yang diberikan kepada masyarakat sentiasa relevan dan memuaskan hati pelanggan dan pemegang taruh (stakeholders).

“MDKM diharap dapat mencapai dan meningkatkan kewangan serta mencari sumber-sumber baru supaya kemampuan kewangan Majlis dapat ditingkatkan.

“Ahli-ahli Majlis hendaklah menanamkan sikap kerja berpasukan, tegas, cekap dan kreatif dalam mencetuskan idea-idea untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan yang lebih berkesan. Idea-idea bernas tuan-tuan dan puan-puan hendaklah selari dengan hala tuju pelan tindakan Sabah Maju Jaya yang mana menjurus kepada pelaksanaan yang terancang dan strategik agar dapat mencapai sasaran dan matlamat yang bertepatan dengan keperluan pembangunan di daerah Kota Marudu.

“Saya menyeru kepada semua Ahli MDKM supaya dapat menjalankan tugas yang diamanahkan dengan komitmen dan tanggungjawab yang tinggi. Berikanlah idea-idea yang bernas untuk membawa kesejahteraan dan kemajuan kepada Majlis Daerah Kota Marudu khususnya dan daerah Kota Marudu amnya,” katanya.

Dr. Joachim turut menyerahkan watikah pelantikan kepada semua Ahli MDKM bagi tahun 2023 – 2025.

Turut hadir ialah Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tandek, Hendrus Anding; Timbalan Setiausaha Tetap II Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Faridah Giau; Pegawai Daerah Kota Marudu, Alexander Yong; Pegawai Executive, Abdul Sani Arsat; Ketua-ketua Jabatan Persekutuan dan Negeri serta kakitangan Majlis Daerah.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *