KOTA KINABALU: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar mengalu alukan acara Perlumbaan Perahu Naga Antarabangsa Gabungan Persatuan Cina Sabah (FCAS) 2023 ke-8 dan Festival Kebudayaan Cina Kebangsaan 2023 ke-38.
Menterinya Datuk Christina Liew berkata, kementeriannya akan mempertimbangkan permohonan penganjur untuk mendapatkan pembiayaan daripada Kerajaan Negeri.
“Kami menyokong acara yang memperkukuh pelbagai budaya, termasuk budaya Cina. Acara ini juga membolehkan peserta membantu mempromosikan Sabah sebagai destinasi pelancongan, melalui aktiviti dan program yang dijalankan oleh pertubuhan ini,” katanya.
Presiden Persekutuan Persatuan Cina Sabah (FCAS) Tan Sri T.C. Goh mengetuai delegasi seramai 15 orang telah membuat kunjungan hormat ke atas Christina dan memberi taklimat kepadanya mengenai acara Perlumbaan Perahu Naga Antarabangsa Sabah FCAS 2023 ke-8 pada Isnin.
“Sejak 2014, kita (FCAS) telah berjaya mengadakan Perlumbaan Perahu Naga Antarabangsa Sabah FCAS dengan sokongan daripada Kerajaan Negeri,” katanya.
Goh turut menyampaikan jemputan kepada Menteri untuk menghadiri beberapa program sempena dua acara besar di Teluk Likas dari 16 hingga 18 Jun ini.
Menurutnya, kira-kira 130 pasukan dalam dan luar negara dijangka menyertai Perlumbaan Perahu Naga Antarabangsa Sabah FCAS 2023 ke-8.
Sementara itu, Timbalan Presiden FCAS Datuk Susan Wong, yang merupakan Pengerusi Penganjur bagi kedua-dua acara itu, memberi pencerahan kepada Christina mengenai aktiviti-aktiviti yang disediakan untuk Festival Kebudayaan Cina Kebangsaan 2023 ke-38.
Beliau berkata Majlis Perasmian Larian Obor Festival akan diadakan pada 16 Jun manakala acara Larian Likas Kota Kinabalu akan berlangsung pada hari berikutnya (17 Jun), diikuti Tawau dan Semporna.
Antara Julai dan Ogos, Larian akan dilanjutkan ke Papar, Beaufort, Tuaran, Tamparuli, Keningau, Tenom, Sandakan, Lahad Datu dan Kudat.
“Semoga kita dapat mengadakan Larian untuk Destinasi Kota Kinabalu pada 16 September ini bertepatan dengan sambutan Hari Malaysia,” kata Susan.
Penganjur telah menetapkan 26 September untuk Larian terakhir di Ranau, acara kemuncak dengan membawa obor ke puncak Gunung Kinabalu. Majlis penutupan Festival Kebudayaan Cina Kebangsaan 2023 ke-38 akan diadakan pada 8 Oktober di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).