Semua pihak sentiasa peka keperluan warga emas – Redonah

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 29 Second

KOTA MARUDU: Ketua Wanita Parti Gabungan Rakyat Sabah (PGRS), Datuk Redonah Bahanda menyeru semua pihak untuk sentiasa peka dengan keperluan dan kebajikan golongan warga emas dalam komuniti masyarakat.

Katanya, warga emas adalah generasi yang berjasa kepada usaha membangunkan negara dan negeri Sabah pada masa lalu.

“Tanpa usaha dan keringat warga emas dalam komuniti kita masa kini, mana mungkin kita berjaya hidup dengan harmoni ini di masa kini.

“Mereka berjasa dalam pelbagai sudut termasuk pembangunan, memperjuangkan kemerdekaan, mendidik anak bangsa dan paling besar sekali adalah sebagai orang tua yang melahirkan kita ke dunia ini,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa hadir dalam Program Jelajah Mesra Pusat Daerah Mengundi (PDM) Tanjong Batu, Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandau baru-baru ini.

Redonah yang juga merupakan Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri itu juga berkata, generasi muda masa kini perlu memberi perhatian dan meluangkan masa untuk bersama warga emas di kampung halaman, khususnya pada bulan Ramadan ini.

“Andai ada kelapangan masa, dapat bercuti beberapa hari, pulanglah ke kampung halaman, melawat ibu bapa atau atuk nenek.

“Pastinya saat indah dalam Ramadan bulan yang penuh berkah ini akan memberi seribu makna kepada mereka, apabila anak cucu berada di sisi mereka,” katanya.

Menurut Redonah lagi, semua masyarakat juga perlu sentiasa mengambil sikap saling menghormati dan prihatin dengan keadaan warga emas yang berada di sekeliling, terutamanya ahli keluarga dan jiran tetangga.

“Peka terhadap keadaan kesihatan mereka, andai kita ada masa bermesra dengan mereka, boleh tanya khabar, keadaan kesihatan mereka dan lebih baik andai kita memberi sedikit sumbangan semampunya untuk memberi kegembiraan kepada mereka.

“Sesungguhnya golongan warga emas adalah insan yang banyak berjasa dalam hidup kita dan keberkatan hidup kita turut datang dari doa mereka,” ujarnya.

Dalam program itu, Redonah turut menyerahkan sumbangang bakul makanan kepada golongan warga emas di Balai Raya Kampung Tanjong Batu dan Kampung Koromoko.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *