HomeUtamaTVET dapat hasilkan modal insan cemerlang, berkualiti - Raja Muda Perlis

TVET dapat hasilkan modal insan cemerlang, berkualiti – Raja Muda Perlis

Read Time:1 Minute, 10 Second

BERNAMA

Sandakan: Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) merupakan gabungan ilmu dan kemahiran tinggi yang dapat menghasilkan modal insan yang cemerlang serta berkualiti, seterusnya melahirkan banyak peluang yang mengubah kehidupan rakyat, titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Titah baginda hasrat Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) dalam memperkasakan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) untuk mentransformasi politeknik dan kolej komuniti diharapkan dapat direalisasikan.

“Pembangunan modal insan ini penting dalam mendepani cabaran pada masa akan datang bagi melahirkan keperibadian rakyat yang unggul.

“Justeru, berikut antara perkara yang perlu diberikan perhatian – prasarana kondusif, peningkatan kemajuan sektor pertanian, usaha kajian dan inovasi bidang pertanian, serta saranan pelajar menggunakan peluang menyerlahkan potensi diri sendiri,” titah baginda ketika merasmikan Program Titian Kasih di Politeknik Sandakan dekat sini hari ini.

Sempena program itu, Tuanku Syed Faizuddin turut berkenan merasmikan Pusat Kajian dan Akuakultur Politeknik Sandakan.

Program Titian Kasih, yang dianjurkan sempena Eksesais Kerajaan Perlis-Sabah (Eks Perbah), merupakan program pembangunan modal insan melibatkan pelajar sekolah dan penuntut institusi pengajian tinggi.

Baginda turut berkenan merasmikan program serupa di Fakulti Pertanian Lestari Universiti Malaysia Sabah (UMS) dekat sini, dan berkenan merasmikan perpustakaan fakulti itu serta menyaksikan majlis menandatangani surat niat antara UMS dan Universiti Malaysia Perlis (Unimap) bagi mengembangkan kerjasama dalam bidang pertanian dan agroteknologi lestari.

Surat niat itu ditangani oleh Naib Canselor UMS Datuk Dr Kasim Mansor dan Naib Canselor Unimap Datuk Dr Zaliman Sauli. – BERNAMA

RELATED ARTICLES
Utama

JUM bantu usahawan muda Membakut tahun depan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular