Elak makan ikan buntal yang tidak diketahui jenis – Jabatan Perikanan

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 30 Second

BERNAMA

Kuala Lumpur : Jabatan Perikanan menasihati orang ramai supaya mengelak daripada memakan ikan buntal tidak diketahui jenisnya kerana hampir semua jenis ikan itu mengandungi toksin yang boleh menyebabkan keracunan jika dimakan secara tidak betul.

Ketua Pengarah Perikanan Datuk Adnan Hussain dalam kenyataan berkata individu yang mengendalikan ikan buntal untuk dimakan juga harus mempunyai pengalaman dan pengetahuan terhadap ikan tersebut.

Beliau berkata pengguna yang membeli ikan secara dalam talian terutama dalam bentuk filet perlu cakna dengan spesies dan jenis ikan yang dibeli.

“Sekiranya anda memilih untuk mencuba hidangan atau produk berasaskan ikan buntal, elakkan memakan bahagian tubuh ikan buntal yang mengandungi toksinnya seperti hati, kulit, usus, serta ovarium dan bahagian-bahagian ini perlu dibuang dengan betul sebelum dimasak.

“Ini kerana tetrodotoxin tidak akan musnah walaupun dimasak pada suhu yang tinggi…racun tetrodotoxin ini boleh menyerang saraf dan membawa kepada kematian jika dimakan,” katanya.

Orang ramai juga dinasihati agar segera mendapatkan rawatan daripada pusat perubatan jika mengalami gejala keracunan seperti mual, muntah atau lemah otot dalam tempoh 30 minit hingga dua jam setelah makan ikan buntal.

Menurut statistik DOF, jumlah pendaratan ikan buntal di Malaysia pada 2020 adalah sekitar 1,337 tan dengan pendaratan tertinggi di Perak (804 tan), diikuti Sarawak (228 tan) dan Sabah (192 tan).

Ikan buntal yang biasa ditangkap adalah daripada spesies Lagocephalusia iaitu ikan buntal pisang,  antaranya ikan buntal pisang emas (Lagocephalus wheeleri), buntal pisang muda (Lagocephalus spadiceus), dan buntal pisang kasar (Lagocephalus lunaris).

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor Ling Tian Soon dilapor  berkata seorang wanita warga emas meninggal dunia pada Sabtu lepas manakala suaminya masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), dipercayai mengalami keracunan selepas memakan ikan buntal. 

Difahamkan pasangan yang tinggal di Jalan Sin Tiam Chamek, Kluang, Johor itu mendapatkan bekalan daripada penjual secara pratempahan menerusi laman Facebook. – BERNAMA

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *