HomeUtamaRamadan eratkan silaturrahim walau berlainan agama - Nur Robecca

Ramadan eratkan silaturrahim walau berlainan agama – Nur Robecca

Read Time:3 Minute, 28 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

SHAH ALAM: Menjalani ibadah puasa di bulan Ramadan bersama masyarakat Muslim yang lain tentunya keadaan itu tidak mudah bagi seorang individu yang baru memeluk agama Islam (mualaf).

Demikian pengalaman yang dikongsikan Nur Robecca Ruth Robert Abdullah, 32, berasal dari Kota Kinabalu yang baru sahaja memeluk agama Islam kerana mendirikan rumahtangga dengan seorang lelaki Muslim berasal dari Kuantan, Pahang.

Nur Robecca bertemu jodoh dan diijabkabulkan sebagai suami isteri dengan seorang penyanyi rap dan komposer lagu, Luca Sickta, 34, pada 3 Mac 2022. Pasangan ini baharu saja dikurniakan cahaya mata pertama mereka pada 17 Mac lalu, seorang bayi lelaki diberi nama Razeeq.

Menceritakan pengalaman pertama berpuasa di bulan Ramadan bersama suami sangat menyeronokkan namun sedikit kecewa kerana dia tidak dapat menunaikan kewajiban yang menjadi salah satu Rukun Islam itu iaitu berpuasa di bulan Ramadan disebabkan dia baru seminggu melahirkan anak.

“Pengalaman pertama kali berpuasa sebagai seorang Muslim adalah tahun lalu, 2022. Ketika itu saya masih berada di Kota Kinabalu, baru berkahwin dan berjauhan dengan suami. Terus terang saya katakan, berpuasa secara suka suka (ikut kawan) dan berpuasa kerana tanggungjawab sangatlah berbeza,” katanya ketika dihubungi Sabah Media hari ini.

Menurutnya, berpuasa kerana tanggungjawab dan amanah untuk kali pertama terasa mencabar disebabkan baru belajar dan cuba untuk memahami maksud Ramadan. Alhamdullilah, dengan bimbingan dari orang sekeliling terutamanya suami biarpun suami berada di Semenanjung pada ketika itu, dia sangat membantu.

“Tetapi tahun ini, saya dan suami sepatutnya merasakan pengalaman Ramadan pertama kami bersama sebagai suami isteri tapi rezeki mendapat cahaya mata pertama tahun ini, saya sedang berpantang ketika bulan Ramadan,” ujarnya.

Turut berkongsi kegembiraan dengan kehadiran ibubapanya dari Sabah yang datang sambil melawat cucu yan baru dilahirkan.

Sebagai ibu dan bapa Nur Robecca iaitu Ayunah Majabin, 52, dan Robert Sylvester Kuil, 54, mereka juga sangat menyokong dan menghormati antara satu sama lain walaupun berlainan pegangan agama.

Ayunah berkata, menantunya (Luca) menyuruh dia masak dan buat macam biasa tapi dia tidak berbuat begitu kerana menghormati mereka sebagai Muslim yang sedang berpuasa pada siang hari.

“Bagaimanapun, saya kata kebetulan kami beragama Kristian juga berpuasa Paska terutama pada hari Rabu dan Jumaat tidak boleh makan daging, menantu saya terkejut dia kata rupanya agama kami pun ada berpuasa, saya cakap puasa hingga good Friday 7 April ini. Puasa dalam agama kami boleh makan tapi tidak boleh terlalu kenyang.

“Tapi kami sebagai ibubapa sangat menghormati menantu dan anak kami jadi saya dan suami turut puasa dan berbuka jam 7.25 petang waktu berbuka di Shah Alam, Selangor,'” katanya.

Menurutnya, sebenarnya dia juga sudah biasa bergaul dengan masyarakat Muslim kerana anak pertama mereka Rounnah Beb juga berkahwin dengan lelaki Muslim iaitu Che Ahmad Sofian Che Mohd Yusoff dan mereka dikurniakan dua cahaya mata bernama Che Sofea Reanna dan Che Shaquille Rizq.

“Saya juga pernah bersama mereka semasa bulan Ramadan jadi kami sudah biasa, tiada masalah bagi kami dan seronok pula sebab menantu lagi suka saya masak dari mereka makan di luar. Hanya bulan Ramadan tahun ini mereka suami isteri (Rounnah dan Che Ahmad) agak sibuk sedikit tidak dapat berbuka puasa bersama dengan kami kerana kekangan tugas sebagai pramugari dan pramugara.

“Manakala menantu saya Luca, sangat humble orangnya dan sebelum buka puasa awal lagi dia tanya “hari ini mummy masak apa?” padahal saya masak simple saja, masakan kampung-kampung Sabahan. Masa berbuka kami sama-sama sekeluarga buka puasa,” katanya.

Ayunah berkata, sebagai rakyat Sabah memang sudah ada sikap Keluarga Perpaduan dengan semangat kasih sayang bersama masyarakat Muslim contohnya bila makan di kedai sebelah Muslim sebelah lagi kedai bukan bukan Muslim. Kita dapat lihat keharmonian hidup masyarakatnya telah wujud di situ.

“Keadaan ini, mereka boleh duduk bersama tetapi bila musim puasa orang kita sangat menghormati kawan-kawan, saudara mara dan keluarga termasuklah saya memang tidak kekok bersama masyarakat Muslim, cuma di sini (semenanjung) berbeza sedikit terutamanya waktu berbuka puasa lewat tidak macam di Sabah, jadi kena sabar tunggu berbuka puasa bersama menantu dan anak,” tambahnya.

Dalam pada itu, Nur Robecca juga ada adik beradik yang masih beragama Kristian iaitu Brandon Ron Robert dan isterinya Suzy Robot. Pasangan ini mempunyai dua orang anak iaitu Bella Adele dan Bryden Ayden. Manakala seorang adik perempuan yang masih bersekolah di tingkatan enam atas, Rachel Avril.

RELATED ARTICLES
Utama

Kementerian Kewangan berjaya tingkatkan pendapatan Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular