HomeUtamaRang Undang-Undang Kesalahan Seksual Kanak-kanak dilulus

Rang Undang-Undang Kesalahan Seksual Kanak-kanak dilulus

Read Time:1 Minute, 34 Second

BERNAMA

Kuala Lumpur : Rang Undang-Undang Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak (Pindaan) 2023 yang bertujuan memberikan perlindungan lebih jitu kepada kanak-kanak, diluluskan di Dewan Rakyat semalam. 

Ia diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas dibentang untuk bacaan kali kedua oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said dan dibahaskan 10 Ahli Parlimen.

Menurut Azalina rang undang-undang itu antara lain untuk menggantikan terminologi ‘pornografi kanak-kanak’ kepada ‘bahan penganiayaan kanak-kanak’ dalam Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792).

“Sungguhpun kelihatan seperti penggantian istilah sahaja, ia memberi kesan yang besar kepada perspektif dan gambaran tahap keseriusan serta perihal sebenar sifat jenayah eksploitasi dan penganiayaan seksual ke atas kanak-kanak,” katanya ketika menggulung perbahasan rang undang-undang itu.

Selain itu, Azalina berkata perkataan pornografi lagi tidak hanya merujuk kepada seksual tetapi juga penggunaan perkataan yang wujud dalam teknologi.

“Sekarang ni perkataan ‘porn’ tu tidak semestinya perkataan yang kotor. Kalau kita kekalkan perkataan ‘pornografi’ itu, kadang-kadang orang boleh wujudkan sebagai contoh dalam pemikiran kanak-kanak ayat yang wujud dalam teknologi.

“Contohnya ‘food porn’ itu makanan ataupun ‘poverty porn’, jadi tak semestinya pornografi itu hanya kepada seksual. Bila berhadapan kanak-kanak, ketidakfahaman mereka itu yang menyebabkan kadang-kadang mereka boleh terkeliru untuk memahami bahawa perkara ini boleh dilakukan,” katanya.

Terdahulu ketika membentangkan rang undang-undang itu, Azalina berkata seksyen baharu 15A yang memperuntukan kesalahan mengenai persembahan seks, bertujuan untuk menangani isu seks penstriman langsung yang semakin berleluasa.

Melalui penggubalan seksyen 15A yang baharu, beliau berkata bukan sahaja orang yang menonton dan mengambil bahagian dalam persembahan seksual kanak-kanak boleh didakwa, bahkan semua pihak seperti penganjur, orang tengah, atau mana-mana sindiket yang terlibat dalam melakukan kesalahan persembahan seksual kanak-kanak.

Beliau berkata hukuman yang dicadangkan adalah pemenjaraan selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan boleh juga didenda tidak melebihi RM50,000.- BERNAMA.

RELATED ARTICLES
Utama

400 menara telekomunikasi di Sabah siap hujung tahun ini

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular