SANDAKAN: Seorang warga emas lelaki dipercayai hilang di laut berhampiran perairan Pulau Buntal dekat sini selepas keluar dari rumah menggunakan bot untuk aktiviti perubatan (mengubat orang sakit) di Pulau berkenaan pada Khamis (30 Mac).
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, Bilik Kawalan Sandakan terima makluman dari Balai Polis terdapat seorang lelaki dipercayai hilang di laut berhampiran perairan Pulau Buntal ,Sandakan.
“Menurut sumber saksi, mangsa keluar dari rumah pada waktu pagi (30 Mac 2023) menggunakan bot untuk aktiviti perubatan (mengubat orang sakit) di Pulau Buntal, jarak perjalanan 15 minit dari Kampung Semaian tempat tinggal mangsa.
“Namun sehingga kini mangsa berumur 60 tahun itu dikenali sebagai Jamil Samson masih belum pulang,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Dalam pada itu, katanya, pengadu turut melaporkan bot mangsa dijumpai sekitar jam 6 petang pada hari sama, namun mangsa tiada di situ dan hanya terdapat kesan tompokan darah.
“Maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya.