JAKIM ingatkan orang ramai agar tidak buat andaian berhubung ‘raya mengejut’

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 31 Second

Kota Kinabalu : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengingatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang andaian berhubung tarikh Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini.

Selain itu juga, orang ramai juga dipohon untuk menghormati ketetapan yang dibuat oleh Majlis Raja-Raja mengenai perkara tersebut.

JAKIM dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa pengisytiharan tarikh 1 Syawal pada setiap tahun bagi negara Malaysia adalah dibuat oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja melalui media utama.

Gambar memaparkan tarikh akhir Ramadan yang menjadi kekeliruan umum

Pengisytiharan itu dibuat sejurus menerima laporan hasil cerapan anak bulan yang dibuat di 29 lokasi cerapan rasmi setelah mendapat perkenan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong yang mewakili Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-Raja.

“Cerapan Hilal Syawal bagi tahun ini (1444H) adalah pada petang hari Khamis, 29 Ramadan 1444H bersamaan 20 April 2023.

“Semua pihak disaran membuat semakan ketepatan tarikh hijri yang terdapat pada jam digital azan khususnya di masjid dan surau agar sentiasa selari dengan kalendar hijri yang dikeluarkan oleh JAKIM atau pihak berkuasa agama negeri dan disahkan oleh Panel Pakar Falak,” menurut kenyataan itu di sini semalam.

JAKIM turut meminta semua pihak untuk menghormati ketetapan yang dibuat oleh Majlis Raja-Raja mengenai perkara itu dan tidak membuat sebarang andaian mengenai tarikh Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini.

Jakim mengulas mengenai penularan satu tangkap layar yang memaparkan ‘Pemberitahuan Akhir Ramadan 1444H 20 April 2023’ yang dipercayai disiarkan menerusi sebuah paparan iklan di sebuah masjid.

Menurut kenyataan, paparan tersebut telah menimbulkan spekulasi dalam kalangan warga maya mengenai tarikh Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Untuk rekod, pada tahun lalu, sambutan Aidilfitri bagi negeri-negeri seluruh Malaysia dijangkakan pada 3 Mei bersamaan hari Selasa.
Bagaimanapun, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Syed Daniel Syed Ahmad menerusi siaran langsung khas di media arus perdana, mengumumkan tarikh hari Raya adalah pada 2 Mei, iaitu Isnin. – SABAH MEDIA

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *