KKM ambil perhatian serius terhadap pelbagai isu di KK Luyang

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 1 Second

Kota Kinabalu : Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mengambil tindakan dan perhatian yang serius terhadap pelbagai isu yang dialami di Klinik Kesihatan Luyang.

Klinik yang merupakan Klinik Kesihatan pertama di Sabah itu mengamalkan konsep ‘one stop centre’ dengan anggaran pesakit yang diterima setiap hari adalah seramai 800 orang.

KKM dalam kenyataan berkata, antara isu yang dihadapi klinik berkenaan antaranya mendapan tanah yang menyebabkan keretakan bangunan dan pagar klinik selain keretakan ‘apron’.

“Selain itu, antara isu lain adalah keretakan dan kebocoran ‘flat roof’, siling yang rosak disebabkan titisan air dari ‘flat roof’ dan isu pendawaian elektrik.

“Dalam tinjauan ini, kita mendapati pelbagai isu yang memerlukan perhatian serius dan tindakan lanjut dari pihak KKM,” menurut kenyataan itu di sini hari ini.

Terdahulu, Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa telah mengadakan lawatan kerja rasmi ke Klinik Kesihatan Luyang bagi meninjau kawasan operasi dan keadaan fasiliti perkhidmatan kesihatan kepada penduduk sekitar.

Antara perkhidmatan yang disediakan di klinik berkenaan adalah Klinik Pesakit Luar, Klinik Ibu dan Anak, Klinik Dada (TB & Kusta), Klinik Berhenti Merokok, Pemeriksaan Perubatan, Klinik Virtual, Klinik STI (Sexual Transmitted Infection), Perkhidmatan Sokongan (Fisioterapi dan Terapi Cara Kerja, Diatetik, Pemakanan Sosial Perubatan, X-Ray, dan lain-lain lagi), Saringan Kesihatan dan Perkhidmatan di Komuniti.

Dr Zaliha turut mengadakan lawatan kerja ke Klinik Kesihatan Kinarut yang telah beroperasi sejak tahun 1979.

Klinik Kesihatan Kinarut telah dinaik taraf pada tahun 2005 dimana sebuah bangunan baru dibina untuk menempatkan Unit Kesihatan Ibu dan Anak manakala Unit Pesakit Luar, Unit Makmal dan Unit Farmasi telah dibina pada tahun-tahun yang seterusnya.

Jumlah penduduk Kinarut dianggarkan seramai 51,200 orang dengan kadar pertumbuhan penduduk sebanyak 3.3 peratus.

Beliau kemudian mengadakan lawatan kerja ke Hospital Papar yang menawarkan pelbagai perkhidmatan untuk penduduk setempat.

Antaranya perkhidmatan rawatan pesakit luar, klinik pakar, rawatan ulangan, pemeriksaan ulangan, Klinik Berhenti Merokok dan Klinik Diabetes.

Dalam lawatan itu, beliau turut melawat tapak projek naik taraf di Hospital Papar selain mendengar taklimat serta mendapatkan maklumat lanjut berkenaan status projek.

Projek naik taraf ini meliputi pembinaan blok baharu yang akan menempatkan pertambahan katil serta kepakaran.
Sebelum mengadakan lawatan ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS), Dr Zaliha sempat singgah melawat Klinik Kesihatan Putatan bagi melihat keadaan operasi klinik berkenaan.

Sejurus selepas itu, Dr Zaliha mengakhiri lawatan kerjanya di HWKKS yang sebelum ini dikenali sebagai Hospital Likas.

Hospital ini juga merupakan hospital kerajaan terawal di Malaysia yang memberi fokus kepada perkhidmatan rawatan sakit puan dan kanak-kanak. – SABAH MEDIA

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *