HomeUtamaMUIS terima Zakat Perniagaan RM228,854.35 dari 13 pembayar zakat

MUIS terima Zakat Perniagaan RM228,854.35 dari 13 pembayar zakat

Read Time:2 Minute, 40 Second

KOTA KINABALU: Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) menerima sejumlah RM228,854.35 zakat perniagaan daripada 13 pembayar – pembayar zakat semasa Majlis Berbuka Puasa MUIS di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini.

Majlis penyerahan zakat perniagaan disaksikan oleh Yang Dipertua MUIS Datuk Seri Yahya Hussin.

Pembayar-pembayar zakat tersebut termasuklah KPJ Sabah Specialist Hospital 2022 RM 60,000.00, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) 2021 RM 18,720.00, Jamilah FSFY Sdn Bhd 2022 RM 40,276.40, Jamilah SFY Group Sdn Bhd 2022 RM 17,483.55, FM Fresh Mart 2022 RM 30,000.00, Farmasi Aslam 2022 RM 16,000.00, Andong Engineering 2022 RM 13,693.09 dan Saleh Truck & Trailer Manufacturer Sdn Bhd 2022 RM 9,429.92.

Manakala, Koperasi Wanita Kota Kinabalu Berhad 2020 & 2021 RM 11,918.72, Koperasi Smk Tansau Berhad 2020 RM 4,662.91, Koperasi SMK Sanzac Berhad 2022 RM 2,826.00, Koperasi Jabatan Cetak Kerajaan Sabah Berhad 2019 RM 2,237.37 dan Koperasi SMK Badin Tuaran Berhad 2021 RM 1,607.34.

Sementara itu, menurut Yahya dalam ucapannya, sepanjang tahun 2022 yang lepas, MUIS menerusi bahagian-bahagian di bawahnya giat menggandakan aktiviti ke arah memartabatkan syiar Islam, memperkasa ekonomi serta sistem penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat Islam khususnya di Sabah dan Malaysia amnya.

Katanya, disokong dengan komitmen dan kecemerlangan warga kerja yang tidak berbelah bahagi, MUIS telah melakar beberapa kejayaan yang cukup membanggakan. Antara kejayaan-kejayaan tersebut adalah MUIS telah berjaya mengekalkan Pensijilan ISO 9001:2015. Penganugerahan tersebut telah diberikan kepada MUIS oleh Juruaudit Bertauliah Antarabangsa SGS (Malaysia) Sdn. Bhd.

“MUIS telah memperolehi Sijil Bersih daripada Jabatan Audit Negara (JAN) untuk 3 tahun berturut-turut bagi prestasi Penyata Kewangan Tahun 2019 ,Penyata Kewangan Tahun 2020 dan Penyata Kewangan Tahun 2021.

“Pada tahun 2022, Majlis Ugama Islam Sabah menerusi Bahagian Zakat dan Fitrah telah merekodkan pungutan zakat berjumlah RM133.4 juta dan agihan berjumlah RM122 juta. Ini adalah melebihi daripada unjuran yang dijangkakan, malah merupakan lakaran rekod baharu pencapaian pengurusan pungutan dan agihan zakat khususnya di Sabah,” katanya.

Beiau berkata, menerusi Bahagian Wakaf dan Baitulmal, hal ehwal pengurusan wakaf di negeri ini telah diperkemas dan diperkasakan.

“Antaranya pelancaran Wakaf Tunai, penganjuran siri jelajah Kesedaran Berwakaf di seluruh daerah dan pembangunan serta penyelidikan (R&D) variasi produk Wakaf Tunai & pembangunan Wakaf Hartanah melalui kerjasama strategik bersama-sama dengan pihak pemain industri wakaf, institusi perbankan dan sektor korporat seperti Yayasan Infaq ANGKASA, Waqaf An Nur dan SIRIM,” jelasnya.

Manakala bi bawah MUIS Halal Hub, Yahya berkata, perkhidmatan sertu iaitu proses menyucikan sesuatu daripada najis mughalazah (najis berat) sedang giat dilaksanakan sejak tahun lepas. Selain pengenalan Surat Perakuan Patuh Syariah (SPPS) untuk usahawan di bawah industri mikro (home based), MUIS Halal Hub juga sedang dalam usaha membangunkan Makmal Halal dan Ekosistem Halal Maritim di negeri Sabah.

“Demikianlah penglibatan dan sumbangan yang telah dicapai oleh setiap bahagian di MUIS hasil komitmen padu warga kerja MUIS.

“Semoga segala usaha dalam kerangka memartabatkan syiar Islam dan memperkasa ekonomi umat Islam khususnya di Sabah mampu diterjemah dan direalisasikan sejajar dengan visi dan misi penubuhan MUIS itu sendiri,” ujarnya.

Hadir sama memeriahkan majlis ialah Timbalan Yang Dipertua MUIS Ustaz Malai Ali Malai Ahmad.

RELATED ARTICLES
Utama

Restoran dan penginapan pekerja pusat peranginan di Semporna musnah terbakar

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya